Empat individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman selama tiga hari oleh mahkamah bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Permohonan reman ke atas kesemua individu berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun itu dibuat di hadapan majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Kompleks Mahkamah Kota Bharu.
Siasatan kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 8(2) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Kesemua suspek lelaki warga tempatan itu tiba di kompleks mahkamah pada jam 8.40 pagi ini.
Pada 11 Sept lalu Op Global yang dijalankan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH.
Serbuan itu dilakukan di Selangor dan Negeri Sembilan dan mereka disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.
Serbuan itu turut mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu yang ada kaitan dengan GISBH.