Bagi PAS, belum sah lagi Azmin Ali menjadi setiausaha agung kepada PN dan mereka mencadangkan agar Takiyuddin mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan Hamzah Zainudin itu.
Ketika belum ada sebarang pengesahan muktamad, seorang pemimpin kanan Bersatu malah mempertahankan kewajaran Azmin berbanding Takiyuddin untuk menyandang tugas yang sangat penting buat PN itu.
Kata anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Afif Bahardin, pelantikan seseorang untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung PN merupakan hak prerogratif pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin.
Dia yang juga Adun Taman Medan di Selangor berkata, hak sebagai seorang pengerusi melantik setiausaha agung ada termaktub dalam Perlembangaan PN sekali gus di bawah tanggungjawab pengerusi.
"Soal jawatan Setiausaha Agung PN kalau ikut perlembagaan PN ia di bawah tanggungjawab pengerusi.
"Pengerusi berhak lantik (tanpa perbincangan), prerogratif dia," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Terdahulu media melaporkan Azmin yang juga Pengerusi Bersatu Selangor bakal diangkat sebagai Setiausaha Agung PN. Jawatan berkenaan sebelum ini disandang Hamzah.
Ada hubungan sangat baik
Dalam pengundian Bersatu baru-baru ini, Hamzah dipilih menjadi timbalan presiden dan menjadi orang nombor dua selepas Muhyiddin. Ia sekali gus menyaksikan jawatan tersebut dikosongkan.
Selain menjadi Setiausaha Agung PN, Hamzah juga bertindak sebagai Setiausaha Agung Bersatu.
Semalam Malaysiakini melaporkan Pemuda PAS Pusat mengemukakan cadangan agar Takiyuddin dilantik sebagai Setiausaha Agung PN yang baru.
Ketua pergerakan itu Afnan Hamimi Taib mencadangkan perkara itu kerana Hamzah kini mempunyai tanggungjawab yang lain selaku timbalan presiden parti berkenaan.
Antara lain, Pemuda PAS berpendapat berbanding Azmin - yang sebelum ini menjadi Naib Presiden Bersatu - Takiyuddin adalah lebih senior dalam PN dan sudah berpengalaman luas menguruskan PAS sebagai setiausaha agungnya.
Muhyiddin dalam wawancara bersama Sinar Harian baru-baru ini dilaporkan memilih Azmin bagi menggantikan posisi Hamzah itu.
Berdasarkan perlembagaan PN, jawatan setiausaha agungnya hendaklah dilantik oleh pengerusi untuk menjawat tanggungjawab itu selama yang dikehendaki.
Afif menegaskan, berdasarkan pengalaman dan rangkaian yang ada pada bekas Menteri Besar Selangor itu, dia yakin Azman dapat memanfaatkannya dalam usaha mengembleng kekuatan PN.
"Kalau ikut pengalaman Datuk Seri Azmin selaku tokoh politik, hubungannya dengan PAS sangat baik, bahkan terbukti dapat mempertahankan wakil-wakil rakyat PAS ketika krisis politik Selangor era pentadbiran Pakatan Rakyat.
"Bahkan kerjasamanya dengan PAS Selangor juga sangat baik.
"Kita dapat lihat bagaimana PN Selangor jauh ke depan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat di Dewan Undangan Negeri Selangor," katanya.