Lawatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke China pada 19 hingga 22 Sept ini, mencatatkan sejarah penting dalam hubungan diplomatik Malaysia-China yang menyambut ulang tahun ke-50 tahun ini.
Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan bahawa lawatan Seri Paduka Baginda tersebut merupakan lembaran baharu dalam memperkukuh persahabatan erat antara Malaysia dan negara Tembok Besar itu.
Menurut kenyataan itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa hubungan dengan republik berkenaan membawa pelbagai manfaat kepada Malaysia sepanjang lima dekad yang lalu.
“Saya berharap lawatan ini juga menjadi asas kepada pengukuhan persahabatan ke dekad seterusnya.
“Saya yakin terdapat pelbagai bidang yang boleh diterokai bersama dengan kepakaran yang ada antaranya dalam sektor ekonomi digital, pembangunan hijau dan perindustrian,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO).
Titah Seri Paduka Baginda itu dikongsikan dalam kenyataan Istana Negara.
Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Li Qiang, diikuti oleh pertemuan dengan Presiden Xi Jinping.
Yang di-Pertuan Agong juga akan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.
Sultan Ibrahim turut dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di China serta berkenan menamakan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena nama Baginda.