Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan bersetuju dengan permintaan Presiden Amanah Mohamad Sabu agar semua pemimpin parti mengelak daripada mengulas lanjut mengenai isu pilihan raya kecil (PRK) Mahkota.
Berita Harian memetik Aminolhuda, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, sebagai berkata dia bersedia untuk bertemu dengan BN Johor bagi membincangkan isu yang tercetus selepas Amanah Kluang menyatakan hasrat bertanding di kerusi Mahkota, yang sebelum ini dimenangi Umno pada pilihan raya negeri 2022.
“Presiden Amanah melarang pemimpin dan ahli parti membuat kenyataan terbuka mengenai isu kerusi DUN Mahkota.
"Maka, saya selaku pengerusi Amanah Johor serta merangkap pengerusi PH Johor, sentiasa akur dengan permintaan presiden supaya tidak buat sebarang kenyataan berkaitan kedudukan DUN Mahkota.
"Insya-Allah, saya bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi yang juga pengerusi BN dan Umno Johor berhubung isu PRK DUN Mahkota, minggu depan," katanya seperti dilapor.
Semalam, pengumuman Amanah Kluang berhubung hasrat meletakkan calon di Mahkota, mencetuskan spekulasi awal pertelingkahan antara parti dalam kerajaan perpaduan.
Ketua Amanah Kluang Mohd Zuhan Mohd Zain juga dilaporkan berkata Amanah bersedia memberi laluan kepada Umno di Mahkota jika Umno Johor sebagai tonggak kerajaan negeri bersedia menawarkan jawatan termasuk sebagai ketua kampung dan ahli majlis tempatan.
Pengumuman Zuhan itu menimbulkan teguran keras Ketua Pemuda Umno Johor Noor Azleen Ambrose, manakala Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata adalah lebih baik untuk Amanah membantu Umno di Mahkota dan menghormati prinsip penyandang.
Laporan itu mencetuskan spekulasi mengenai perebutan antara Amanah dan Umno, yang mendorong Mohamad meminta semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan terbuka sementara menunggu perbincangan antara PH dan BN selepas PRK Nenggiri yang sedang berlangsung.
Kerusi Mahkota dikosongkan berikutan kematian penyandangnya Syarifah Azizah Syed Zain daripada Umno.