Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Azmin Ali antara punca PN kalah teruk dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Mahkota minggu lalu hanya pandangan peribadi mereka, menurut Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Zahin Zainal.
Zahin berkata kekalahan PN dengan perbezaan 20,648 undi adalah keputusan pengundi sendiri.
“Ini pandangan peribadi. Kita selaku sayap parti bekerja berhabis-habisan, bukan sekadar dua minggu.
“Ada rakan kita dalam Pemuda Bersatu dan PN Johor memberi komitmen yang baik. Akhirnya itu keputusan akar umbi, keputusan pengundi sendiri.
“Pada saya, untuk letakkan kesalahan kepada sesiapa hanyalah pandangan peribadi,” katanya ringkas dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, Free Malaysia Today memetik dua pemimpin pembangkang yang enggan dinamakan berkata Azmin, yang merupakan pengarah PRK PN bagi dun Mahkota, menyumbang kepada kekalahan gabungan itu.
Seorang daripadanya yang merupakan pemimpin Bersatu menyifatkan Azmin tidak melaksanakan tugasnya dengan baik dalam menggembleng jentera PN.
Dia antaranya dilaporkan mendakwa pusat operasi PN tidak berkomunikasi dengan jentera luaran ketika kempen.
Seorang lagi sumber yang dipetik, yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PN pula mendakwa “tidak mudah” untuk bekerjasama dengan Azmin yang menurutnya “dalam dunianya sendiri” dan hanya bekerja dengan pihak dalam parti yang rapat dengannya.
PN kalah teruk dalam PRK Mahkota apabila calonnya, Haizan Jaafar dari Bersatu hanya mendapat 7,347 undi berbanding calon BNSyed Hussien Syed Abdullah yang menerima 27,995 undi.
Majoriti BN iaitu sebanyak 20,648 undi adalah empat kali ganda majoriti yang diraih gabungan itu dalam PRN pada 2022.