Bagi Sitti Bandorah Mahalil, suatu ketika dahulu, dia amat berbangga melihat seragam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Apa tidaknya, suaminya Sarjan Abd Azis Sarikon adalah antara mereka yang pernah menyarungi seragam itu dan meninggal dunia ketika mempertahankan tanah air ini pada 2013, daripada pencerobohan tentera Sulu .
Dia antara enam anggota polis yang terbunuh dalam serangan hendap oleh pengganas bersenjata di Kampung Simunul, Semporna.
Namun, selepas 11 tahun berlalu, Sitti Bandorah, dan anak-anak mereka hari ini pula menjadi mangsa pencerobohan — kali ini oleh pihak berkuasa negeri yang pernah diperjuangkan oleh wira itu.
Rumah Puluhan Tahun Dikaitkan dengan Pencerobohan Taman Laut
Rumah mereka di Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna, menjadi antara kawasan yang disasarkan untuk dirobohkan oleh pihak berkuasa.
Menurut Sitti, anggota dari pelbagai agensi, termasuk polis dan Taman Sabah, datang ke kampung mereka semalam dan mengarahkan penduduk supaya mengosongkan rumah masing-masing.
Namun, keluarga Sitti bersama penduduk lain enggan berganjak sehingga mereka diancam akan ditangkap.
“Dia cakap sekarang kamu kemas-kemas, rumah akan dirobohkan.
“Saya cakap, apa hukumnya kalau saya melarang, kalau saya bertegas jangan dirobohkan rumah kami, dia cakap kamu akan ditangkap, dibawa pergi balai.
“Tapi (kemudiannya selepas) kami kemas-kemas, dia orang cakap kami akan balik dan potong rumah kamu,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut notis Taman-Taman Sabah yang diberikan kepada penduduk, rumah-rumah tersebut didakwa menceroboh kawasan Taman Marin Tun Sakaran.
Namun, ramai penduduk, termasuk Sitti yang kini berusia 51 tahun, mendakwa meeka telah menetap di situ selama beberapa dekad.
Walaupun pihak berkuasa tidak meneruskan perobohan semalam, Sitti mendakwa mereka telah menebang kira-kira 20 pokok mangga di kawasan itu.
Pagi ini, pihak berkuasa kembali ke kampung tersebut sekitar jam 7 pagi dengan bilangan anggota yang lebih ramai, termasuk pasukan polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA), unit yang arwah suaminya pernah berkhidmat.
"Bangga Saya Hilang, Hati Saya Hancur"
Sitti meluahkan kekecewaannya apabila mendakwa beberapa anggota bersikap kasar terhadap keluarganya kerana enggan mengosongkan rumah mereka.
"Dia kata jangan banyak cakap. Jangan siapa-siapa bergerak, kamu diamlah!
“Jadi saya macam kecewa sangat-sangat. Sampaikan dalam hati saya, saya menangis. Dulu kan saya pernah bangga dengan pakaian PDRM. Saya bangga sangat-sangat.
“Sampaikan anak-anak saya, saya suruh kalau boleh anak-anak masuklah PDRM. Masuklah, walaupun saya sakit dengan kematian arwah suami saya. Tapi saya bangga dengan PDRM.
“Saya ingat itu adalah penjaga keamanan. Rupa-rupanya tidak,” katanya.
"Kenapa Fokus Pada Kami, Bukan Penjenayah?"
Ibu tunggal itu mempersoalkan mengapa pihak berkuasa mahu mengusir penduduk kampung tempatan sedangkan mereka adalah rakyat Malaysia.
Sitti turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang lebih menumpukan kepada perobohan rumah penduduk daripada membanteras jenayah di Semporna.
“Kami tinggal di rumah kami, rumah kami (mahu) diroboh. Penghasilan kami, kebun-kebun kami ditebang
“Sedangkan kami orang Malaysia. Kami bukan pendatang. Kenapa orang-orang (asing) yang di pekan ini yang menjual minyak petrol, menjual rokok, menjual syabu, Kenapa mereka tidak serbu?
“Kenapa yang kami duduk aman di kampung dia orang buat macam ini,” soalnya lagi.
“Jadi sayaa cakap saya benci dengan PDRM.”