Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) dan Agrobank menutup sementara operasi beberapa cawangannya di Kelantan susulan banjir yang melanda negeri berkenaan.
Agrobank, melalui notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya semalam, memaklumkan cawangan yang terjejas termasuk Pasir Puteh, Pasir Mas, Kuala Krai, Machang, Tumpat, Kubang Kerian dan kiosk Rantau Panjang.
"Untuk mendapatkan maklumat berkaitan cawangan-cawangan yang terkesan dan cawangan sokongan yang berdekatan, sila ikuti perkembangan terkini melalui platform media sosial rasmi Agrobank dari semasa ke semasa.
"Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan kewangan, sila hubungi Pusat Panggilan Agrobank di 1-300-88-2476 atau layari http://www.agrobank.com.my," menurut notis itu.
Sementara itu, BIMB turut mengeluarkan notis penutupan sementara operasi enam cawangannya sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, membabitkan Pasir Puteh, Machang, Kuala Krai, Pasir Tumboh dan Pasir Mas dan Wakaf Bharu.
Bagaimanapun, pelanggan BIMB boleh mengunjungi cawangan sokongan berhampiran untuk mendapatkan khidmat perbankan di Kubang Kerian, Kota Bharu, Tanah Merah, Bandar Baru Tunjong, Padang Garong dan Gua Musang.
"Sebagai alternatif, pelanggan digalak menggunakan platform Perbankan Internet Bank Islam di http://www.bankislam.biz/web.bimb.com, aplikasi mudah alih GO by Bank Islam/BIMB Mobile atau mengunjungi cawangan layan diri berhampiran untuk urusan perbankan.
"Kami memohon maaf ataa kesulitan yang dialami. Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi pusat panggilan kami di talian 03-26900900," menurut notis itu.