Jabatan Warisan Negara perlu segera menyiasat misteri batu bersurat di puncak Gunung Ledang, gesa Ahli Jawatankuasa Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Johor, Mohd Azlan Sharif.
Katanya, tanpa perlindungan dikhuatiri batu yang ingin dipastikan nilai sejarahnya itu akan menjadi mangsa vandalisme sebelum dapat disahkan bahasa, jenis tulisan dan tarikh ia dipahat.
Mohd Azlan menjelaskan dia sebelum ini sudah pun memaklumkan penemuan batu itu kepada Jabatan Warisan Negara dan Yayasan Warisan Johor aduannya itu ‘dipandang sepi’.
“Saya tahu cerita tu (kewujudan batu bersurat di puncak Gunung Ledang), tapi kedudukan batu bersurat itu sebenarnya dekat Melaka. Dekat Gunung Ledang tapi dari sebelah negeri Melaka.
“Dan ia bukan baru ditemui sekarang, ia dah lama dan siapa yang daki Gunung Ledang mesti tahu mengenainya.
"Biasanya dengan mengambil contoh sebelum-sebelum ini, kalau hari ini ditemui (artifak sejarah) seperti mana dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005 perlu dimaklumkan dan mereka akan datang, siasat sekejap tapi bila orang dah mula diam, mereka pun diam.
“Saya memang terkejut dan saya tak puas hati dengan cara yang dibuat oleh Jabatan Warisan Negara ini, mereka hanya buat apa yang mereka suka,” katanya kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas misteri penemuan batu bersurat tesebut.'
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda Bahadin ketika dihubungi Malaysiakini berkata pihaknya tidak ada maklumat lanjut dan akan menyiasat kesahihan batu bersurat itu.
BACA BERKAITAN: Misteri batu bersurat Gunung Ledang bakal terungkap
Ini selepas timbul pertikaian jika batu bersurat itu benar-benar artifak kuno atau sekadar goresan kenang-kenangan dari tarikh yang lebih moden.
Terdapat pelbagai mitos yang beredar mengaitkan batu bersurat itu dengan watak legenda Puteri Gunung Ledang, Hang Tuah dan raja Jawa dari kerajaan Demak.
Ada juga video pengguna media sosial yang mendakwa ia tulisan Jawi lama malah ada pula menspekulasikan ia aksara kuno Kawi. Namun, sehingga kini masih tidak jelas perkataan yang terukir di batu itu.
Mengulas lanjut, Azlan berkata dia sangat bersetuju apabila orang awam menularkan kewujudan batu bersurat itu.
Katanya, pihak berkuasa perlu memberi perhatian dan tindakan lanjut bagi memperlihatkan keseriusan dalam menjaga warisan negara.
“Saya bersetuju orang awam tularkan perkara ini, supaya pihak berkuasa lebih serius.
“Kita bukan pakar sebab itu kita minta mereka pergi dan siasat. Kalau pun mereka bukan pakar, mintalah konsultan atau pun mereka yang arif mengenainya.
“Sekarang ini pun kalau kita yang mengadu (kewujudan artifak sejarah) Jabatan Warisan bukan nak panggil kita pun,” keluhnya.
Azlan berkata dia bimbang tindakan vandalisme orang ramai yang lalu-lalang di kawasan itu jika batu di puncak Gunung Ledang tersebut benar-benar artifak sejarah lampau.
Firaun, nabi dah sampai Gunung Ledang?
"Jadi saya meminta Jabatan Warisan Negara atau pun Yayasan Warisan Johor dan juga juga mana-mana pakar atau sesiapa yang boleh membaca batu ini atau pun boleh membaca tulisan lama, buatlah pengesahan kepada penemuan itu,” katanya.
Selain itu, Azlan menjelaskan hasil siasatan akan menamatkan bermacam mitos dan spekulasi mengenai batu bersurat Ledang.
“Orang ramai pun ada percaya ia tulisan Pallawalah, (cerita-cerita lisan) firaun dah sampai Gunung Ledang, Nabi Muhammad sampai Gunung Ledang," katanya lagi.