PRK NENGGIRI | Muhyiddin Yassin hari ini tampil menyatakan sokongan penuh PN terhadap Mohd Rizwadi Ismail yang dipertaruhkan parti itu untuk mengekalkan kerusi Nenggiri pada 17 Ogos ini.
Dalam kenyataan umum hari ini, Pengerusi PN dan Presiden Bersatu itu berkata bekas timbalan ketua Pemuda PAS Gua Musang terbabit - yang kini sudah menyertai Bersatu - adalah seorang anak muda yang berwibawa.
Katanya strategi Bersatu dan PN meletakkan calon mereka untuk bertanding menggunakan logo PAS juga adalah tepat selepas kriteria tertentu dipenuhi.
"Sebagai anak muda yang bergiat aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di Nenggiri, saya percaya beliau amat mengetahui selok-belok masyarakat setempat dan insyaAllah akan dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat apabila terpilih sebagai wakil rakyat nanti," katanya.
Selepas proses penamaan calon berakhir pagi tadi, secara rasmi bermulalah kempen PRK Nenggiri yang mempertemukan Mohd Rizwadi, 41, dengan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, 38.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundia ialah pada 17 Ogos depan.
Percaturan PN di Nenggiri menarik perhatian ramai seawal hari pengumuman calon di Gua Musang pada 30 Julai lalu. Hal itu kerana, antara lain, dia meninggalkan PAS hanya pada 28 Julai sebelum diterima Bersatu.
Pengumuman calon tersebut pula dibuat Menteri Besar Kelantan merangkap pesuruhjaya PAS negeri itu, Mohd Nassuruddin Daud, walaupun ada pemimpin kanan Bersatu hadir di majlis berkenaan.
Langkah tersebut dilihat sesetengah pihak sebagai memperkecilkan Bersatu.
Mohd Rizwadi juga membaca ikrar dan sumpah laknat untuk tidak meninggalkan Bersatu jika dipilih sebagai wakil rakyat nanti.
Untuk rekod beberapa pihak dalam PAS sendiri mendesak agar kerusi Nenggiri diberikan semula kepada mereka selepas ia ditandingi Bersatu dalam pilihan raya negeri pada tahun lalu.
Semalam Presiden PAS Abdul Hadi Awang sudah memberikan restu untuk Mohd Rizwadi menjadi calon kepada Bersatu-PN.
Kata Muhyiddin sebagai bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia, dia yakin Mohd Rizwadi memiliki tahap disiplin yang tinggi serta keperibadian terpuji.
"Ini antara kualiti yang amat penting untuk memastikan beliau sentiasa komited berkhidmat kepada rakyat.
"Saya memberikan sokongan penuh kepada beliau sebagai calon PN dan menyeru semua pengundi di DUN Nenggiri keluar beramai-ramai pada hari mengundi untuk memilh Mohd Rizwadi sebagai wakil rakyat anda," katanya.