Bicara kes projek Jana Wibawa Adam Radlan ditangguh ke 10 Jun

Shopee Sale

Perbicaraan kes Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang menghadapi 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa pada 27 Mei ini di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur ditangguhkan ke 10 Jun.

Hakim Suzana Hussin melapangkan tarikh perbicaraan berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan pembelaan untuk penangguhan perbicaraan kes berkenaan.

"Hari ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi memaklumkan mengenai status pernyataan saksi-saksi pendakwaan yang akan diserahkan kepada pihak pembelaan bagi tujuan perbicaraan," kata Mohamad Fadhly yang turut memaklumkan pihaknya akan menyerahkan pernyataan saksi-saksi pendakwaan kepada pembelaan dalam tempoh 14 hari sebelum perbicaraan bermula.

Peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Adam Radlan, 43, yang menghadapi lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram mengesahkan perkara berkenaan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh perbicaraan selama 15 hari bermula Mei ini iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun, 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.

Mohamad Fadhly yang ditemui pemberita selepas prosiding berkata pihak pembelaan memohon penangguhan perbicaraan selama tiga hari itu berikutan peguam utama Adam Radlan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terlibat dalam kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi. 

Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh, daripada Mat Jusoh Mamat yang merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah, kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

MENARIK:  Jabatan kesihatan nafi ada 16 kes kencing tikus di air terjun Kemaman

Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian Tian Chuan dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular