Mahkamah Tinggi di Ipoh hari ini menolak permohonan jaminan seorang pegawai kanan polis agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan kesnya, yang didakwa membunuh seorang pelajar sekolah menengah dalam kejadian langgar sehingga mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menolak permohonan Mohd Nazri Abdul Razak, 44, yang berpangkat DSP, atas sebab terdapat alasan munasabah berdasarkan naratif kes untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mahkamah juga mendapati tiada keadaan khas dan istimewa untuk jaminan diberikan di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah, dan turut mengekalkan tarikh perbicaraan kes pada 4 Nov seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Pada prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Timbalan Pendakwa Raya Low Qin Hui, manakala peguam Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M. Kuhan, mewakili Mohd Nazri.
Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Mohd Nazri didakwa atas pertuduhan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pada 14 Mei, Mohd Nazri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini dan Hakim Bhupindar Singh menetapkan perbicaraan kes itu selama 30 hari bermula 4 Nov hingga 17 Jan tahun depan.
Terdahulu ketika prosiding Loi berkata naratif dikemukakan pihak pendakwaan pada peringkat ini tidak menunjukkan bagaimana pemohon (Mohd Nazri) telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Naratif kes juga menunjukkan bahawa pemohon berada di tempat kejadian kerana isterinya yang bekerja sebagai seorang guru di sekolah itu, dan ia juga menunjukkan bahawa pemohon tidak mengenali si mati, katanya.
Afzainizam dalam hujahnya berkata berdasarkan pertuduhan yang dikemukakan, naratif kes mengandungi fakta material yang menunjukkan bahawa pemohon melakukan kesalahan bunuh terhadap pelajar terbabit pada 15 Dis 2023.