Cadangan DAP Negeri Wilayah Persekutuan untuk memperkenalkan reformasi dengan melaksanakan sistem pelantikan Ahli Majlis untuk Kuala Lumpur bagi memastikan tadbir urus yang baik merupakan pendekatan yang bijak dan progresif, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata cadangan tersebut merupakan langkah pertama yang bijak dan akhirmya matlamat utama adalah ke arah pelaksanaan pilihan raya kerajaan tempatan.
Beliau berkata ketika ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mempunyai Lembaga Penasihat dan bukan Ahli Majlis dilantik seperti yang berlaku dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.
“Memandangkan beberapa kekangan yang ada ketika ini, ini mungkin satu pendekatan progresif yang boleh dipertimbangkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Negeri DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 hari ini.
Beliau berkata cadangan tersebut akan dirujuk kepada majlis kepimpinan Pakatan Harapan untuk pertimbangan lanjut sebelum dibawa ke peringkat lebih tinggi dalam kerajaan.
Pelantikan Ahli Majlis adalah antara resolusi utama yang diluluskan oleh DAP Negeri Wilayah Persekutuan hari ini dengan Pengerusinya Tan Kok Wai berkata ia merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang lebih meluas, yang akhirnya akan membawa kepada mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.
Saranan pinda akta ibu kota
Menambah kepada ulasan Loke, Naib Presiden DAP Teresa Kok menekankan kepentingan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 untuk membolehkan Kuala Lumpur mempunyai Ahli Majlis.
“Semua PBT di seluruh negara adalah di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 tetapi disebabkan Kuala Lumpur adalah sebuah ibu kota, memang tak ada jawatan Ahli Majlis yang termaktub dalam akta ini.
“Jadi, adalah sangat penting bagi kerajaan MADANI ini untuk meminda Akta Ibu Kota supaya Kuala Lumpur akan mempunyai Ahli Majlis, sama seperti semua PBT di seluruh negara,” katanya.
Dalam isu berasingan, mengulas mengenai keraguan dan salah tafsir yang menyelubungi Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau telah menugaskan Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan untuk meneliti RUU tersebut dan memberi taklimat kepada Ahli Parlimen dari parti itu.
Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar semalam yang menggesa semua pihak tidak menimbulkan keraguan yang boleh membawa kepada salah tafsir mengenai RUU tersebut.
“Ramai orang cuba mentafsir rang undang-undang itu dengan cara mereka sendiri. Saya rasa Menteri Agama telah menjelaskan dengan jelas bahawa apa yang disebut oleh sesetengah pihak bukanlah perspektif yang betul,” katanya.