Kerajaan Perak bakal mengenakan bayaran tambahan berjumlah RM3 untuk caj perkhidmatan tempatan (CPT) bagi pengunjung yang menginap di negeri itu mulai 1 Jan 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata caj baru itu tertakluk kepada bilik penginapan berbayar untuk setiap malam, selain termaktub mengikut Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun lalu.
Ng bagaimanapun berkata caj seumpama itu telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan.
"Tarikh kuat kuasa pelaksanaan bayaran ini ditangguhkan ke 1 Jan 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini," katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Halizah Sipun.
Ng berkata caj yang dikenakan terhadap pengunjung itu merupakan inisiatif tambahan yang dilihat berpotensi membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan khususnya di pelbagai lokasi pelancongan di Perak.
Selain itu, dia berkata pelaksanaan penyeragaman lesen hotel mengikut Enakmen Hotel 2023 ditetapkan bermula 1 Julai depan yang menghendaki setiap pengusaha hotel, rumah rehat, chalet, inap desa, rumah bot dan sebagainya mendapatkan lesen berkenaan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum mengenakan caj CPT kepada pelancong.
“Bagi memberikan tempoh yang mencukupi untuk sesi libat urus dan pendidikan kepada kumpulan sasar, kerajaan bersetuju untuk memberikan tempoh pemutihan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.
“Dalam tempoh ini kerajaan negeri hanya berikan nasihat kepada mereka dan tiada tindakan kompaun dikenakan ke atas pengusaha yang belum mendaftar dan memohon,” katanya.
Dia berkata kerajaan negeri berharap semua pengusaha premis penginapan segera mengemukakan permohonan dan lesen daripada PBT di kawasan masing-masing bagi melancarkan pengoperasian perusahaan yang dijalankan.
Meskipun penguatkuasaan lesen tersebut ditangguh, kata Ng, peruntukan undang-undang yang termaktub di dalam enakmen berkenaan tetap perlu dipatuhi.