Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan aktiviti rekreasi buat sementara waktu berikutan cuaca tidak menentu ketika ini.
Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata peralihan Monsun Barat Daya kepada Monsun Timur Laut (MTL) menyebabkan berlakunya hujan lebat berterusan sekali gus berisiko mengundang pelbagai bencana dan membahayakan nyawa.
"Kalau boleh tangguh, tangguhlah dahulu sebab sekarang ini perubahan cuaca sukar kita jangka.
"Kalau mereka yang mendaki gunung, mungkin (akan berlakunya) hujan lebat dan (risiko) pokok tumbang atau tanah runtuh.
"Mereka yang beriadah di kawasan air terjun pula mungkin menghadapi kejadian kepala air," katanya pada sidang media selepas menutup Latihan Pengurusan Bencana pelbagai agensi di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini hari ini.
Mengulas kejadian banjir di Temerloh, Wan Mohammad Zaidi berkata ia dipercayai akibat limpahan air Sungai Semantan yang mengalir ke Sungai Pahang seterusnya menyebabkan banjir di Lanchang, Mentakab dan Batu Kapur setelah hujan lebat sejak hujung minggu lepas.
"Paras air Sungai Semantan di Temerloh juga tidak begitu tinggi, jadi kita jangkakan banjir di sana beransur pulih memandangkan cuaca semakin baik hari ini," katanya.
Dalam kes lain, beliau berkata pihaknya bersama beberapa agensi sedang berusaha membawa keluar seorang pendaki wanita yang cedera parah akibat dihempap pokok tumbang di Gunung Tahan, Jerantut dalam kejadian awal pagi tadi.
"Mangsa berusia 49 tahun didapati tidak sedarkan diri dan patah pinggang.
“Semasa kejadian, dia dipercayai sedang tidur di dalam khemah di Kem Seputih.
"Terdahulu, dia bersama pasukannya dikatakan melakukan pendakian ke Gunung Tahan bermula dari Sungai Relau, Merapoh pada 7 Okt lepas dan dijangka turun semalam," katanya.
Beliau berkata pihaknya kini mempertimbangkan untuk menggunakan helikopter bagi mengeluarkan mangsa dari lokasi kejadian kerana ia mengambil masa dua hari jika menggunakan jalan darat.