Cuaca panas dan kemarau akibat fenomena El-Nino yang melanda negara ini, telah memberi kesan yang serius terhadap sektor pertanian Sabah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Beliau yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri itu berkata kadar hujan yang amat rendah pada Januari dan Februari lepas sekitar 80 milimeter, telah memberi kesan kepada tanaman dan pengurusan tanah untuk pertanian, menyebabkan hasil pertanian berkurangan.
Beliau menerusi kenyataan malam tadi berkata cuaca panas juga telah menyebabkan air dalam tanah tersejat dengan lebih cepat menyebabkan tanah menjadi kering, kelembapan rendah, dan sukar untuk ditembusi akar tanaman.
“Cuaca panas dan kemarau berpanjangan memberikan cabaran besar untuk pengeluaran makanan bagi keterjaminan makanan di Sabah. Kekurangan hujan dan paras air di saliran berkurangan 10 hingga 40 peratus memberi kesan kepada pertanian, penternakan, akuakultur, dan pengeluaran getah,” katanya.
Jeffrey (gambar atas) berkata terdapat beberapa sungai di lima daerah di Sabah iaitu Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan dan Kota Marudu, berdepan dengan penurunan paras air yang agak kritikal, antaranya Sungai Padas di Beaufort pada paras 2.58 meter berbanding paras normal 4.5 meter, sebelum ini.
Beliau berkata beberapa langkah telah diambil bagi mendepani situasi itu, antaranya menangguhkan aktiviti pertanian tertentu dan penggunaan jenis tanaman yang memerlukan kurang air atau boleh bertahan ketika musim kemarau.
“Pengusaha juga dinasihatkan tidak menyimpan stok dalam jumlah besar, selain mengambil langkah mengurangkan kerugian.
“Catuan air dan penggunaan pam air mudah alih juga telah digerakkan bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya.