Majlis Amanah Rakyat (MARA) masih menunggu laporan penuh berkaitan kes seorang guru yang dituduh melakukan pedofil oleh seorang pelajar di media sosial yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, Kelantan.
Pengerusinya Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya menunggu hasil siasatan pihak polis sebelum mengambil apa-apa tindakan seterusnya.
Ini berikutan guru yang dikatakan itu turut membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya telah difitnah melakukan kesalahan tersebut.
"Polis sudah buat siasatan dan maklumkan tidak ada unsur-unsur yang boleh dikatakan (ada) salah laku.
"Dan kita menunggu laporan penuh daripada pihak polis. Maknanya tindakan kita (seterusnya) adalah berasaskan siasatan pihak berkuasa," katanya kepada pemberita hari ini.
Asyraf sebelum itu merasmikan seminar pembangunan produk Halal Usahawan PMKS Mara yang dihadiri kira-kira 280 peserta di Hotel Premeira, Kuala Lumpur, hari ini.
Tegasnya, siasatan bagi kes berkenaan perlu dilakukan dengan menyeluruh dan tindakan yang diambil perlu berdasarkan kepada bukti-bukti yang telah dikemukakan.
"Kita kena tengok dalam konteks ini, siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh dan apa juga tindakan perlu berasaskan kepada apa juga bukti yang dikemukakan.
"Di peringkat Mara, kita akan bergantung kepada siasatan pihak berkuasa," katanya.
Pada 31 Mac lalu, Polis Kelantan melaporkan bahawa seorang guru MRSM Tumpat telah membuat laporan polis dengan mendakwa dirinya difitnah melakukan pedofil.
Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata guru terbabit membuat aduan di Balai Polis Tumpat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.
Kes itu juga dilaporkan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana menggunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar untuk membuat atau menyebarkan komen dalam talian.
Pada 28 Mac lalu, dakwaan itu tular di media sosial apabila dengan seorang pelajar mendakwa guru itu masih bekerja di sekolah berasrama penuh berkenaan walaupun banyak dakwaan telah dilaporkan terhadapnya.
Individu itu mendakwa dia dan rakan-rakannya adalah antara mangsa perbuatan guru terbabit.
Ketika ditanya mengenai satu hantaran di laman X dibuat salah seorang yang dipercayai pengadu yang menulis "Kami telah menang kes itu" (We won the case!!!), Asyraf menjawab dia tidak mengetahui mengenai ciapan tersebut.
"Saya tak tahu (hantaran di X). Tapi kena ingat dalam apa juga keadaan kita harus berlaku adil. Sistem hukum (penghakiman) kita berasaskan kepada keadilan dan keadilan itu bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga kepada pengadu," katanya lagi.