Seorang pemimpin kanan Umno memberitahu ahli parti itu supaya tidak takut kepada DAP, dengan mengatakan bahawa ia bukan parti chauvanis dan sosialis seperti yang dilemparkan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Abdul Rahman Mohamad yang juga adalah timbalan menteri sumber manusia berkata DAP juga berkongsi harapan untuk melihat Umno menjadi lebih kuat, supaya mereka dapat menumpang sokongan parti Melayu itu.
Katanya, ini dikongsi bersama oleh Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Steven Sim Chee Keong di hadapan Jemaah Menteri ketika sesi mesyuarat Kabinet, baru-baru ini.
"Dia (Steven Sim) pernah menyatakan Umno perlu kuat. Mereka (DAP) hanya nak menumpang Umno sahaja kerana hanya boleh menang antara 40 hingga 43 kerusi dan tak mungkin lebih dari itu.
"Dia juga memaklumkan masyarakat Cina tidak ramai anak dan tak mungkin hendak menuntut menjadi perdana menteri.
"Kalau tidak kuat, DAP tak boleh menumpang pada Umno. Dia beri kebenaran kepada saya guna sewenang-wenangnya masa yang ada ini untuk memperkukuhkan Umno itu sendiri," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian.
Abdul Rahman berkata demikian, ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Tanjong Karang, semalam.
Malah, katanya, Sim 'mengarahkannya' untuk menguatkan Umno di seluruh negara.
"Dia beritahu 'Datuk pergilah ke Pantai Timur, Utara dan Selatan untuk membantu Umno supaya parti bertambah kuat'. Daripada riak muka saya nampak keikhlasan hatinya" katanya.
Menurut Abdul Rahman, tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap DAP dengan panggilan jelik sebelum ini tidak masuk akal sama sekali.
"Parti itu tidak seperti yang kita sangkakan sebelumnya. (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) Nga Kor Ming pernah menyebut dia tak sangka rupa-rupanya (Timbalan Perdana Menteri) Ahmad Zahid Hamidi seorang yang rajin bekerja, mempunyai idealisme tinggi dan mereka (DAP) sangat seronok bekerja bersama beliau.
"Ini apa yang dilontarkan yang saya dengari. Steven Sim ini sudah pasti orang yang rapat dengan saya dan sentiasa bersama dengan saya.
"Selama ini kita rasakan DAP chauvinis, sosialis dan sebagainya,” kata ahli Parlimen Lipis itu.