DAP Pulau Pinang akan memberikan sokongan penuh kepada kerajaan negeri pimpinan ketua menteri Chow Kon Yeow, kata pengerusi DAP negeri yang baru, Steven Sim.
Sim juga menolak spekulasi bahawa dia kini bakal menjadi pengganti Chow.
"Kita tumpu kerja lapangan dulu. Okay, pastikan kita menang pilihan raya akan datang dan tubuhkan kerajaan bersama-sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas pengundian DAP Pulau Pinang yang berakhir hari ini.
Chow menerajui DAP Pulau Pinang selama lebih dua dekad, namun membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam pengundian parti negeri tahun ini di tengah-tengah kebimbangan bahawa dia kehilangan sokongan.
Terdapat spekulasi bahawa dengan keluarnya Chow, akan ada langkah dalaman dalam DAP Pulau Pinang untuk menggantikan Chow sebagai ketua menteri.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke memberi jaminan bahawa Chow akan berkhidmat sehingga habis penggal.
Loke juga mencadangkan Sim sebagai pengerusi DAP Pulau Pinang yang baru, manakala Lim Hui Ying dikekalkan sebagai setiausaha DAP negeri, sebagai usaha untuk mengekalkan kestabilan dalam parti itu.
Jawatan pengerusi DAP negeri bukan syarat untuk dilantik menjadi ketua menteri berdasarkan amalan terdahulu.
Pendahulu Chow, Lim Guan Eng yang merupakan ketua menteri Pulau Pinang pertama daripada DAP - tidak pernah bertanding dalam pengundian DAP negeri - dan secara langsung juga tidak pernah menjadi pengerusi DAP negeri.
[Berita penuh menyusul]