Data rasmi: Israel import keluaran M’sia, syarikat pengeluar tempatan nafi

Shopee Sale

Data rasmi dari Israel menunjukkan puluhan pengeuaran produk makanan dari syarikat Malaysia telah diimport oleh syarikat Israel untuk pasaran tempatan di sana.

Ini berlaku walaupun Malaysia mempunyai pendirian diplomatik anti-Israel, termasuk melarang perdagangan dengan Israel terutamanya selepas keganasan tercetus di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu.

Namun begitu, beberapa pengeluar Malaysia yang tersenarai menafikan mereka menghantar keluaran mereka ke Israel and tidak tahu-menahu mengapa keluaran mereka tersenarai dalam pangkalan data Israel tersebut.

Menurut data terbitan kerajaan Israel itu, keluaran-keluaran Malaysia tersebut mendapat sijil kosher selepas 7 Oktober.

Data rasmi ini telah diperoleh dan diselidik oleh Arabic Post. Ia diselia oleh Majlis Ketua Rabai Israel, iaitu badan keagamaan tertinggi di Israel yang mengeluarkan sijil kosher untuk tujuan pemasaran di Israel.

Makanan dan bahan mentah yang mendapat sijil kosher disahkan boleh dimakan oleh warga Yahudi mengikut peraturan diet agama tersebut, dan logo sijil itu diletakkan di keluaran yang dijual di Israel.

Ia sama seperti sijil halal yang diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan agensi halal di negara-negara lain.

The Arabic Post hanya meneliti data yang diterbitkan di laman web kerajaan Israel dari 7 Oktober, 2023 ke 30 Mei, 2024.

Ini bermaksud terdapat keluaran lain yang menerima sijil kosher mereka sebelum dan selepas tempoh ini.

Siapakah pengeluar Malaysia yang tersenarai?

Menurut data itu, 36 produk dari kilang di Malaysia telah mendapat sijil kosher. Ia terdiri dari bahan mentah makanan seperti persia makanan, minyak masak, koko dan krim.

Data menunjukkan produk-produk tersebut dikeluarkan di Malaysia dan diimport oleh syarikat-syarikat Israel.

Namun begitu, tidak jelas dari data itu jika syarikat pengimport telah berurusan dengan syarikat Malaysia tersebut atau telah menggunakan ejen pihak ketiga, atau mengimport dari negara lain.

Produk-produk ini dikeluarkan oleh 12 syarikat di Malaysia, dan kebanyakan dari mereka kepunyaan konglomerat atau kumpulan syarikat berpengkalan di luar Malaysia.

Made with Flourish

Satu syarikat yang dikenali ramai, dan tersenarai diimport oleh syarikat Israel, ialah pengeluar kopi Aik Cheong Sdn Bhd.

Dua dari produknya - serbuk kopi segera Golden Eagle dan serbuk untuk membuat kapucino - menerima sijil kosher dari Majlis Ketua Rabai Israel sejak 7 Oktober.

KLK Oleo Sdn Bhd, anak syarikat pengeluar kelapa sawit tersenarai Kuala Lumpur Kepong Bhd, juga dijumpai dalam data Israel itu.

Produk lain termasuk Linaco Manufacturing (M) Sdn Bhd, yang mengeluarkan santan berjenama Rasaku, dan pengeluar-pengeluar lain yang semuanya anak syarikat firma Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Syarikat Israel yang mengimport santan dari Linaco ialah Rakuto Kasei Israel Ltd / Rakuto Diplomat International Ltd, iaitu syarikat pemasaran barangan konsumer terbesar di Israel.

Syarikat Malaysia nafi eksport keluaran ke Israel

Arabic Post dan Malaysiakini telah menghubungi syarikat-syarikat Malaysia yang tersenarai dalam pengkalan data Israel itu.

Setakat ini, hanya Aik Cheong, Purecircle Sdn Bhd and Danisco (M) Sdn Bhd memberi maklum balas. Mereka menafikan mengeksport keluaran mereka ke Israel.

Mewahole Industries Sdn Bhd pula meminta Malaysiakini menghantar soalan melalui emel. Ia belum membalas emel tersebut.

Walaupun laman web Aik Cheong dan senarai kosher itu menyatakan nama syarikat pembuat kopi ini sebagai Aik Cheong Sdn Bhd, semakan Malaysiakini mendapati namanya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia ialah Aik Cheong Beverages Sdn Bhd.

Pengurus pentadbiran dan eksekutif halal syarikat ini, Nor Hafiqqie Mohd Nor, berkata Aik Cheong sama sekali tidak mengeksport produknya ke Israel dan tidak tahu-menahu mengapa ia tersenarai dalam senarai kosher itu.

“Tiada produk jenama Aik Cheong yang pernah dieksport ke Israel,” katanya ketika dihubungi.

Begitu juga Purecircle Sdn Bhd iaitu pengeluar produk stevia yang merupakan anak syarikat Ingredion, syarikat perisa makanan di AS.

“Kami tidak pernah mengeksport atau import barang ke Israel. Jika ada (produk Purecircle di senarai kosher itu) itu bukan dari syarikat kami di Malaysia.

“Malaysia tidak ada hubungan perdagangan dengan Israel, maka kami patuh undang-undang negara ini,” kata pengurus pelanggan Purecircle Sdn Bhd Nicole Tang.

MENARIK:  Program DLP: 11 SMJK (C) Pulau Pinang bantah pekeliling KPM

Pengurus logistik Danisco (M) Sdn Bhd Hooi Heo Ping juga menafikan syarikat itu mengeksport produknya ke pasaran Israel.

Danisco (M) Sdn Bhd ialah anak syarikat sebuah syarikat bahan mentah makanan dari Denmark, yang telah diperoleh oleh syarikat kimia AS, DuPont pada 2011.

Perdagangan berjuta dollar antara Malaysia dan Israel

Sementara barangan buatan Malaysia yang diimport oleh syarikat Israel, kerajaan Malaysia melarang syarikat kargo gergasi dari Israel, Zim, daripada menghantar kargo ke sini.

Produk yang tersenarai dalam data kosher itu juga termasuk dalam perdagangan bernilai ratusan juta dollar AS antara Malaysia dan Israel dalam tahun-tahun sebelum ini, menurut statistik yang dikumpul Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Jumlah import Israel dari Malaysia paling tinggi pada tahun 2018, iaitu sebanyak US$304 juta, sementara eksport Israel ke Malaysia paling tinggi pada 2013, iaitu sebanyak US$1.46 billion.


source:

Pada tahun 2014, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed ketika itu berkata kerajaan tidak dapat halang produk Malaysia daripada dijual di pasaran Israel, kerana Malaysia termasuk dalam rantai bekalan (supply chain) global syarikat pembuatan antarabangsa.

“Aktiviti pelaburan dan perdagangan antarabangsa ini tidak dapat dikawal oleh kerajaan Malaysia,” katanya, apabila Malaysia tersenarai sebagai rakan dagang Israel ketiga paling besar di Asia Tenggara ketika itu.

Tambahnya, keluaran Malaysia yang dihantar ke Palestin juga perlu melalui pelabuhan Ashdod di Israel untuk tiba ke destinasi akhir, dan akan direkod sebagai produk yang dieksport ke Israel.

Barang kosher bukan untuk Palestin

Namun begitu, menurut semakan Arabic Post, 36 produk Malaysia yang diimport oleh syarikat Israel itu bukan untuk kegunaan di pasaran Palestin.

Ini kerana barangan yang untuk pasaran Palestin tidak memerlukan sijil kosher, kata Tarek Saqf Al-Hait, seorang peniaga dan ahli Dewan Perdagangan dan Industri Nablus, di Tebing Barat, Palestin.

“Tidak perlu (sijil kosher); pengimport Palestin hanya perlu dapatkan lesen yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Israel dan lesen itu menyatakan barangan itu adalah untuk pasaran Palestin. Tiada keperluan untuk sijil keagaamaan (sijil kosher),” katanya.

Data kosher Israel mengenai barangan buatan Malaysia itu juga menunjukkan ribuan produk keluaran negara-negara Arab atau Islam lain, yang diimport oleh Israel. Ini termasuk dari Tunisia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Morocco, UAE, Turkiye, Indonesia dan Pakistan.

Arabic Post menemukan 412 syarikat dari negara-negara tersebut yang mana produknya diimport ke Israel dan mendapat sijil kosher sejak 7 Oktober 2023 hingga 30 Mei 2024.

Bulan lalu, BDS Malaysia menggesa kerajaan Malaysia memastikan aktiviti ekonomi negara diselarikan dengan dasar polisi negara terhadap Israel.

“Kegagalan berbuat demikian akan melemahkan kedudukan dan solidariti kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membatalkan hubungan dengan syarikat Israel yang beroperasi dari negara itu, tapi tidak dapat berbuat demikian untuk semua syarikat terkait dengan Israel.

Ini kerana ia boleh melemahkan ekonomi Malaysia, katanya.

“Jadi sementara saya akan keras memperjuangkan dan membela nasib rakyat Palestin khususnya di Gaza berdepan dengan siapa sahaja, tapi saya tidak mahu melemahkan kekuatan ekonomi negara. Kalau syarikat itu dari Israel, saya tetap tegas,” katanya.


Laporan tambahan: Iqbal Harraz, Adib Faris, dan Siti Nur Shahirah

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular