WAWANCARA | Pemantau pilihan raya Bersih menafikan demonstrasi yang diadakan baru-baru ini bagi menuntut kerajaan Madani melaksanakan reformasi sekadar wayang, kata Pengerusinya, Faisal Abdul Aziz.
Mengakui ramai peserta Bersih sebelum ini merupakan penyokong PH, Faisal berkata perkara itu bukan alasan kepada badan itu untuk tidak menuntut reformasi dilaksanakan.
“Untuk mengatakan ia wayang atau tidak, yang penting kita dah buktikan.
“Walaupun mungkin ada yang mengatakan bahawa rata-rata yang menyokong Bersih ni adalah menyokong PH, bagi kita apa masalahnya?" katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini.
Terdahulu pada 27 Feb lalu, Bersih menganjurkan perhimpunan #Reformasi100Peratus yang diadakan di laluan masuk bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Disertai kira-kira 100 peserta, mereka berkumpul di Plaza Tugu Negara sebelum berarak menuju bangunan parlimen untuk menyampaikan memorandum kepada wakil rakyat.
Antara kandungan memorandum tersebut ialah menuntut pelaksanaan agenda reformasi 100 peratus khususnya dalam sistem pilihan raya dan institusi utama.
Mereka juga menuntut dihentikan amalan yang boleh membawa kepada pembebasan tanpa pelepasan (DNAA) tokoh berprofil tinggi yang sedang dibicarakan, dan menolak undang-undang dua darjat.
Dua hari selepas itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris berkata Bersih sekadar melepaskan batuk di tangga dan bukannya benar-benar mahu mendesak kerajaan melaksanakan perubahan seperti yang dijanjikan mereka dahulu.
Razali mendakwa individu yang memimpin Bersih suatu ketika dulu dan berdegar-degar menuntut pembaharuan kini sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Faisal yang juga bekas presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bagaimanapun menafikan penyokong Bersih menyokong kerajaan secara semberono.
Dia sebaliknya menegaskan gabungan itu tetap memastikan proses semak dan imbang dilaksanakan.
"Kalau penyokong Bersih yang datang (demonstrasi) ini adalah menyokong PH, setidaknya kita menyokong PH dengan syarat.
"Bukanlah seperti zaman sebelum ni menyokong parti politik secara membabi buta tanpa ada check and balance. Kita vote you, you jadi kerjaaan, suka hati you lah. Itu bukan kita dalam konteks Bersih," katanya.
Cabaran bina momentum
Dalam pada itu Faisal mengakui dia perlu mengatur strategi bagi membina kembali momentum Bersih untuk menarik lebih ramai orang menyertai perhimpunan mereka.
Katanya, demonstrasi yang diadakan di Parlimen baru-baru ini gagal menarik ramai penyertaan kerana dibuat dalam tempoh singkat selain diadakan pada hari bekerja.
Selain itu Faisal tidak menafikan perananan PAS suatu ketika dahulu berupaya mengerahkan ahli serta penyokongnya untuk turun ke jalan raya bagi menyertai perhimpunan Bersih.
"Saya tak nafikan sokongan fizikal hari ini agak mencabar, akan tetapi kenyataannya yang menyokong di media sosial amat baik.
"Kita akui waktu Bersih 1.0 memang rata-rata ramai datang dari PAS.
“Kita hargai sumbangan PAS zaman (Allahyarham) Nik Aziz (Nik Mat). Memang mereka all out beri sokongan kepada bersih dalam Bersih 1.0 (dulu).
"Itu kekuatan PAS, mereka ada akar umbi yang dikerahkan untuk turun padang bila pimpinan parti arahkan," katanya.