Dengan kisah orang terpinggir, novel sulung Aishah Zainal terus jadi perhatian

Shopee Sale

MALAYSIANSKINI | Tidak ramai orang, termasuk penulis, yang meningkat naik dengan begitu cepat, seperti apa yang berlaku kepada Aishah Zainal.

Novel sulungnya termasuk dalam senarai panjang Dublin Literary Award 2024, sesuatu yang tidak dijangka-jangka oleh penulis berusia 27 tahun ini apabila dia memeterai kerjasama dengan penerbit tempatan, Gerakbudaya.

Bertajuk Hades, ia berkenaan kisah kehidupan di flat kos rendah dan berkisar tentang hubungan antara remaja bermasalah, Kei dan ibu tunggal, Maryam. Aisyah menyifatkannya sebagai kisah golongan pinggiran dan kesan kemiskinan terhadap manusia.

Dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakini, Aishah berkata inspirasi untuk menerbitkan novel itu sebahagiannya datang daripada arwah datuknya yang dahulunya seorang penulis bercita-cita besar, namun tidak menerbitkan karya dan sebaliknya menjalani hidup dengan menjaga Taman Tasik Taiping di Perak.

Baginya, dalam hidup ini, ramai orang hilang potensi yang ada dalam diri mereka akibat kemiskinan.

Ini kisah Aishah Zainal, seperti yang diceritakannya sendiri:

Walaupun saya sentiasa ingin menjadi penulis novel, karya Joan Didioan, Why I Write adalah punca saya mula menulis secara serius. Dia dikira antara perintis gerakan New Journalism (bersama-sama antaran lain Hunter S Thompson dan Tom Wolfe) dan membaca pandangannya berkenaan penulisan benar-benar mencetuskan sesuatu dalam jiwa saya.

Terutama kerana saya juga ada pandangan yang sama tapi sukar untuk menterjemahkannya kepada kata-kata.

Saya sentiasa ingin menulis seperti Didion, walaupun dia lebih cenderung kepada penulisan bukan fiksyen manakala saya minat fiksyen dan sastera. Saya memang ingin menghasilkan karya yang mendalam.

Saya juga begitu dipengaruhi oleh Donna Tartt. Kesemua tiga bukunya, terutama The Little Friend, mengubah seluruh pandangan saya tentang penceritaan.

Ketika masih bersekolah, saya percaya untuk menulis cerita yang bagus, sesuatu yang besar perlu sentiasa berlaku, namun cerita-cerita Tartt bukan begitu.

Plot yang dihasilkannya agak linear namun cara penceritaannya menjanjikan kepada kita sesuatu yang besar akan berlaku, namun akhirnya tiada apa yang berlaku atau berubah.

Apabila habis membaca bukunya, saya tidak rasa dikhianati, tetapi merasakannya sesuatu yang luar biasa. Saya alami rasa yang sama ketika membaca karya Kurt Vonnegut.

Saya juga baca banyak artikel tentang Ursula K Le Guin namun belum sempat membaca karyanya. Karya-karyanya dihasilkan berdekad lalu namun dia agak baru mendapat perhatian khalayak. Tapi saya masih keliru sama ada penulisannya bergenre fiksyen sains, fiksyen spekulatif atau fantasi.

Saya akan cari karyanya nanti. Buat masa ini, saya sedang menelaah Philip K Dick.

Memberi suara kepada golongan terpinggir

Saya berkongsi dua gambar tempat yang menghantui saya sepanjang menghasilkan Hades. Saya pilih untuk tulis berkenaan hubungan antara orang terpinggir kerana saya sebahagian daripada komuniti ini dan memang sedar yang penderitaan mereka berakar daripada kemiskinan.

Perkauman dan patriarki turut menjadi punca penderitaan ini. Saya mahu orang sedar tentang akarnya dan saya mahu tulis kisah mereka kerana mereka juga patut meninggalkan tanda di dunia ini, walaupun kecil.

Mereka layak untuk dikenang dan penderitaan mereka ada makna, tanpa mengira pencapaian atau kedudukan sosial mereka.

Dua gambar itu daripada zaman kanak-kanak saya. Dulu saya tinggal bersama saudara di sebuah kampung kecil dekat Flat Taman Mewah Bercham (di Ipoh) dan loji kumbahan.

Pada sebelah petang, sepupu saya yang lebih tua selalu bawa saya ke kedai runcit di flat itu dan kami akan lalu loji itu. Saya ingat pemandangan dan baunya sehingga hari ini.

Dua tempat ini adalah pengalaman aneh yang seperti mimpi, namun ia benar-benar berlaku dan saya memang mengalaminya. Jadi saya tulis Hades, untuk menunjukkan tempat dan komuniti ini wujud dan saya tidak berhalusinasi. Saya dapat ingat semuanya dengan begitu jelas.

Bermula tanpa plot

Plot cerita berkembang seiring saya menulisnya. Saya tiada rangka yang tetap dengan penamat alternatif atau plot twist. Saya tak tahu apa-apa memandangkan ini kali pertama saya tulis novel.

Sebaik saja adegan muncul dalam fikiran saya, saya terus menulisnya. Namun saya ada buat sedikit perubahan agar plot konsisten.

Perubahan paling besar yang saya buat adalah sudut pandang - daripada sudut pandang pertama kepada ketiga. Begitu juga gaya penulisan saya, agar tidak terlalu kasar dan untuk cuba menyembunyikan kenaifan saya. Namun tetap ada kenaifan dalam Hades agar naratifnya seperti diceritakan oleh remaja berusia 16 tahun pada 2012.

Kesimpulannya, saya tidak terlalu bimbang tentang plot kerana ia sudah dapat dijangka. Saya lebih menumpukan soal bahasa, sudut pandang, gaya penulisan dan motif.

Saya sedang tulis buku kedua. Saya belum dapat beritahu ia tentang apa kerana masih belum dikembangkan sepenuhnya. Apa yang saya boleh cakap, ia realistik tetapi romantik.

Bukan kisah cinta, tetapi romantisisme. Walaupun saya memang berharap dapat menulis novel cinta yang laris atau fiksyen fantasi yang menjadi kebanggaan negara.

MENARIK:  Lebih 200,000 pencarum KWSP cukup simpanan asas pada 55 tahun

Saya masih lagi di tahap biasa dan perlu sedikit keberanian untuk keluar daripada genre yang saya biasa. Apa-apa pun, saya fikir saya akan sentiasa menulis tentang orang miskin dan yang menjadi mangsa diskrimnasi berstruktur.

Mungkin, di masa akan datang, apabila kekayaan di dunia ini tiba-tiba diagihkan dengan saksama, saya akan dapat menulis tentang kehidupan yang penuh indah, dengan bunga dan pohon.

Terkejut dengan pengiktirafan

Sukar untuk percaya saya termasuk dalam senarai panjang Dublin Literary Award. Saya benar-benar tak jangka. Tak sangka ada orang yang akan mencalonkan karya seorang penulis baru yang entah dari mana.

Saya sering merasakan Hades tidak menepati cita rasa orang, kecuali saya dan kawan-kawan. Orang kan tak selesa baca tentang kemiskinan. Kisah cinta sentiasa laku dan Hades bukan begitu.

Tiada rancangan untuk mengadaptasikan Hades kepada filem. Emak saya baru tanya perkara sama semalam. Saya rasa Hades perlu dibiarkan sebagai kisah yang diceritakan melalui kata-kata. Saya tak ingin ia kehilangan magik yang telah saya jalinkan selama dua tahun.

Setiap hari saya bayangkan saat di mana saya boleh menjadi penulis sepenuh masa. Beberapa hari lepas, saya berbual dengan seorang lagi penulis, Farah Liyana (Be Kind, Rewind) tentang menjadi penulis dan pada masa sama perlu menyara kehidupan adalah sesuatu yang melelahkan, terutama jika anda masih berusia 20-an dan tinggal di Malaysia.

Saya cemburu dengan penulis dan penyair dulu-dulu, di saat wujudnya orang yang menjadi penaung mereka. Namun, saya tak fikir naungan seperti ini pernah ada di Malaysia.

Bagi saya pula, masa adalah musuh utama dalam penulisan, dan juga keperluan untuk makan dan tidur. Saya rasa langkah pertama yang kita perlu ambil adalah mengubah perspektif masyarakat berkenaan seni, sastera dan muzik.

Masyarakat kita cenderung beranggapan ketiga-tiganya membazir masa kerana tidak menghasilkan kesan yang konkrit seperti Stem (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

Ilmu Stem dapat menyelesaikan krisis seperti air atau wabak. Tanpa seni, sastera dan muzik pula, matahari akan terus terbit di timur dan dunia berjalan seperti biasa.

Kita perlu menjadikan orang ramai menghormati tiga bidang ini, baru kerajaan akan melihatnya secara serius. Mana tahu mungkin tak lama lagi kita akan ada kementerian yang khusus untuk seni, sastera dan muzik, bukannya dikelompokkan bersama dengan pelancongan dan kebudayaan.

Mungkin selepas itu, penaung sastera akan lahir justeru penulis dapat memberi tumpuan sepenuhnya dalam berkarya dan tidak perlu membuat kerja lain untuk hidup.

Tapi buat masa sekarang...saya akan sentiasa cuba tulis sekurang-kurangnya sepotong ayat tanpa mengira kesibukan, agar terus berkarya dan tidak kehilangan magik yang ada.

Politik, agama, seni

Saya ada pandangan tersendiri tentang politik dan agama. Bagi saya, semua karya fiksyen adalah politikal tanpa mengira hasrat penulisnya. Joan Didion ada berkata, "menulis adalah tindakan agresif dan melawan."

Secara asasnya, penulis memaksa pandangannya kepada orang lain dan politik mempengaruhi setiap aspek hidup kita, sama ada kita sedar atau tidak. Menjadi lebih politikal adalah lebih mudah berbanding menjauhi politik.

Berkenaan agama pula, saya percaya dunia ini akan jadi lebih baik jika ia hanya menjadi soal antara kita dan Tuhan. Saya percaya kepada Tuhan dan agama, tetapi tidak kepada pemimpin keagamaan.

Dulu saya suka main papan selaju tetapi selepas tamat pengajian di UIA dan mula menjadi guru, saya tidak aktif lagi. Papan selaju saya pun dah berhabuk.

Saya tak pandai tentang seni tapi sangat berminat terhadap lukisan, terutama karya Caravaggio.

Saya juga suka band rock progresif dan psikedelik dan saya teringin nak main bass. Sejak berusia enam tahun, saya selalu berangan membeli gitar bass dan menjadi ahli band tetapi ia tidak pernah jadi kenyataan.


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular