DLP: MCA, Gerakan selar kerajaan berhubung pekeliling DLP

Shopee Sale

Gerakan dan MCA mengecam kerajaan berhubung arahan terbaru Kementerian Pendidikan mengenai pelaksanaan Program Dwi Bahasa (DLP).

Ketua Wanita Gerakan Johor, Susan Yong Fui Ling menyifatkan kementerian terbabit melaksanakan dasar yang tidak perlu dan tidak sepatutnya.

"Gerakan menentang tindakan tergesa-gesa kementerian, yang menekan sekolah dan ibu bapa untuk menerima kaedah pengajaran yang tidak sesuai.

“Gerakan menggesa Kementerian Pendidikan mendengar suara rakyat, menghormati kehendak ibu bapa dan pelajar serta menegakkan autonomi sekolah, dan bukannya mendesak supaya Matematik dan Sains diajar dalam Bahasa Malaysia.

“Memandangkan sistem sekarang berfungsi dengan baik, kenapa Kementerian Pendidikan merumitkan, membazir sumber dan menyebabkan kesusahan yang tidak perlu? Adakah anda begitu banyak masa?" katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pengajaran dua mata pelajaran berkenaan dalam bahasa Inggeris adalah sangat wajar memandangkan bahasa itu digunakan di seluruh dunia.

“Menguasai bahasa Inggeris boleh memudahkan komunikasi di peringkat antarabangsa dan silang budaya.

"Malah, kebanyakan bahan sumber untuk Matematik dan Sains adalah dalam bahasa Inggeris, dengan sejumlah besar kesusasteraan akademik, maklumat saintifik dan berita antarabangsa diterbitkan terutamanya dalam bahasa Inggeris," tambahnya.

Semalam, lembaga sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah arahan mewajibkan mana-mana sekolah yang mahu melaksanakan DLP agar menyediakan sekurang-kurangnya satu kelas mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.

Menurut laporan The Star, mereka mendakwa tidak ada permintaan untuk mempelajari mata pelajaran tersebut dalam bahasa kebangsaan.

Justeru sekolah terbabit meminta kementerian menarik balik arahan tersebut dan meneruskan pengajaran dua mata pelajaran tersebut dalam Bahasa Inggeris.

Kumpulan itu juga mendakwa arahan tersebut mengabaikan kehendak ibu bapa dan bertentangan dengan niat asal Program Pembelajaran Dwibahasa (DLP), yang bertujuan untuk memperkukuhkan pengetahuan pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).

Bagaimanapun, kenyataan Yong itu bercanggah dengan kenyataan rakan pemimpin komponennya dari PN yang juga pemimpin Bersatu, Razali Idris.

Razali yang juga ketua penerangan Bersatu, menyifatkan menteri pendidikan sebagai "lembik dan tidak bermaya" dalam menangani bantahan berhubung pelaksanaan satu kelas mengguna bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina.

Tegasnya, tidak salah pekeliling kementerian yang mewajibkan sekurang-kurangnya satu kelas perlu mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu jika sesebuah sekolah ingin melaksanakan DLP.

MENARIK:  Ku Li: Petronas ditubuhkan atas kehendak orang Sarawak sendiri

Razali turut membidas pihak yang mempersoalkan dasar kerajaan sedangkan ia bertujuan untuk "menguntungkan semua pihak".

DAP jangan tidur

Sementara itu, Naib Presiden MCA Tan Teik Cheng membidas pemimpin DAP – bekas timbalan menteri pendidikan Lim Hui Ying dan Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh – kerana gagal bertindak dengan berkesan sehingga mengakibatkan kekeliruan berhubung perkara itu.

“Walaupun selepas rombakan kabinet pada 12 Disember tahun lepas, yang menyaksikan Lim yang tidak menunjukkan prestasi yang baik dipindahkan ke Kementerian Kewangan sebagai timbalan menteri, penggantinya Wong berjanji kepada masyarakat Cina bahawa beliau boleh menyelesaikan isu itu.

“Namun, enam bulan dalam 2024, sekolah masih menghadapi kekeliruan dan gangguan yang disebabkan oleh perubahan akibat DLP.

"Kami menggesa Wong 'jangan tidur di tempat kerja atau berpura-pura tertidur' dan segera membetulkan keadaan huru-hara ini," kata Tan dalam satu kenyataan berasingan.

Sambil menegaskan MCA tidak menentang kesungguhan kerajaan memperkasakan Bahasa Melayu, namun katanya ia perlu dilakukan dengan mempertingkatkan kurikulum bahasa itu dan bukannya mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu.

“Ia sama seperti tidak menjadikan guru Pendidikan Jasmani mengajar Matematik atau guru Matematik mengajar Pendidikan Jasmani.

"Penyelesaian sepatutnya dibuat menangani kelemahan secara langsung dan memperbaikinya," katanya.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular