Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) melahirkan rasa kecewa terhadap pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kelmarin untuk mengekalkan garis panduan pengumpulan dana sekolah.
Dalam video yang dimuat naik oleh China Press, Pengerusi Dong Zong Tan Yew Sin berkata persatuan itu menegaskan sekolah Cina terus mengumpul dana dengan cara yang sama seperti yang mereka lakukan sejak 30 tahun lalu.
"Arahan Kementerian Pendidikan tidak berubah, dan kami amat kesal dengan perkara ini. Pada awalnya, media melaporkan bahawa nampaknya terdapat beberapa peraturan yang jelas.
"Bagaimanapun, nampaknya arahan itu tidak berubah, tetapi pelaksanaannya tidak akan menjejaskan sekolah rendah Cina dan Tamil," kata Tan pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pusat pertama selepas pengundian semula Dong Zong petang semalam.
Tan menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat bir melainkan kerajaan bersedia menyediakan dana yang mencukupi kepada sekolah Cina.
"Jika Kementerian Pendidikan berkata, 'Anda tidak perlu lagi mengumpul dana, kami akan menanggung kos ini untuk anda,' saya percaya masyarakat Cina akan bertepuk tangan. Kami tidak perlu bekerja keras untuk mengumpul dana, kami boleh berhenti melakukannya.
"Sudah tentu ini mustahil. Melainkan ada pembiayaan yang mencukupi, adalah tidak munasabah untuk meminta kami tidak menggunakan kaedah ini (bekerja sama dengan syarikat bir) untuk mengumpul dana," katanya.
Perniagaan yang sah
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata ia mengekalkan garis panduan sedia ada yang melarang sekolah menerima sumbangan daripada hasil arak, dadah, perjudian dan aktiviti seumpamanya yang dianggap memudaratkan pembangunan pelajar.
Bagaimanapun, ia berkata sekolah vernakular masih boleh menerima sumbangan daripada lembaga pentadbiran, seperti yang diamalkan pada masa lalu.
Tan menegaskan dalam budaya Cina, alkohol tidak dianggap sebagai minuman larangan atau suatu yang radikal.
"Sudah tentu, kami tidak menggalakkan minum berlebihan, kami juga tidak akan mempromosikan budaya minum di sekolah. Bagaimanapun, syarikat pengeluar bir perniagaan yang sah, berdaftar dan diiktiraf oleh kerajaan dan mereka membayar cukai pendapatan.
"Mereka membantu sektor pendidikan dari perspektif tanggungjawab sosial korporat tanpa sebarang syarat dan mereka tidak menuntut kami mempromosikan minuman selepas menerima wang," jelas Tan.
Tan juga berkata syarikat bir tidak secara langsung menderma wang kepada sekolah tetapi menaja peralatan untuk persembahan amal dan memberi kemudahan seperti menjemput selebriti untuk membuat persembahan dan mengumpul dana.
"Kami menerima tajaan seperti ini," kata Tan.
[Baca berita asal]