PN menganggap bahawa kerusi DUN Mahkota bukan kubu mana-mana parti, kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.
Tegasnya, mana-mana parti yang bertanding berpeluang untuk menang di kerusi berkenaan.
"Dalam politik apa saja boleh berlaku walaupun suasana dilihat atas kertas memihak kepada parti tertentu.
"Begitu juga di DUN Mahkota, bagi saya kerusi berkenaan bukan kubu kuat mana-mana parti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.
"Citarasa pengundi tiada siapa yang tahu dan hanya dibuktikan ketika mengundi," katanya seperti dilapor Berita Harian.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kota Bharu Half Marathon (KBHM), di Kota Bharu semalam.
Semalam, Ketua Pemuda Umno Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah dinamakan sebagai calon bagi BN pada pilihan raya kecil DUN Mahkota.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kluang merampas kembali kerusi itu daripada PH dengan majoriti 5,166 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Mac 2022.