Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Meta berhubung tindakan mereka memadam hantaran Facebook miliknya berkenaan ucapan takziah kepada pemimpin Hamas Ismail Haniyeh yang terbunuh, kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil.
Menteri komunikasi berkata ini di sebalik "penjelasan terkial-kial" oleh wakil Meta yang tidak mampu memberi penjelasan semasa pertemuan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam.
“Saya lihat apabila mereka hadir semalam, mereka tidak bersedia untuk menjawab isu teknikal yang dibangkitkan.
“Apabila dibangkitkan oleh PMO, barulah mereka terkial-kial mencari maklumat tersebut.
“Jadi saya melihat mereka yang hadir semalam, mungkin ada sesetengah keputusan melebihi bidang kuasa mereka. Saya tidak salahkan mereka. Saya salahkan mereka yang menghantar mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.