Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan satu mesej yang jelas dan tegas bahawa kerajaan tidak akan membiarkan mana-mana pihak cuba mengadu domba sehingga memecahbelahkan rakyat untuk memperoleh pengaruh, mendapat habuan serta kuasa.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata peringatan itu, yang disampaikan pada majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024, turut menekankan bahawa semangat perpaduan adalah amat penting dan tidak boleh dipandang remeh.
Justeru itu, beliau berkata seluruh rakyat Malaysia harus berusaha memastikan kemerdekaan bukan sahaja bebas daripada penjajah tetapi mengisi kemerdekaan itu sendiri supaya jiwa benar-benar merdeka.
"Pada masa sama, ada peringatan mengenai isu bagaimana kita tidak boleh membenarkan dan membiarkan mana-mana pihak cuba mengadu domba dan memecahbelahkan rakyat hanya untuk memperoleh pengaruh dan mendapat habuan serta kekuasaan yang merosakkan perpaduan sedia ada," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.
Fahmi berkata Perdana Menteri juga menegaskan tentang pengkhianatan yang terjadi sehingga Malaysia kehilangan Batu Puteh dan perbahasan terbuka akan dibawa ke Parlimen ajar menjadi pengajaran kepada anak bangsa supaya tidak mengorbankan kepentingan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia 2024 itu turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama menyemarakkan semangat kemerdekaan pada sambutan kemuncak yang berlangsung esok bermula 8 pagi dengan tema sambutan tahun ini 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.'
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata ucapan Perdana Menteri bertepatan bagi mengingatkan seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa menjaga keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Beliau berkata peringatan tegas Perdana Menteri kepada semua pihak walaupun kelompok kecil supaya jangan melampau dalam menyatakan dan melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan keharmonian dalam kalangan rakyat.
"Perpaduan dan keharmonian... kita duduk bersama dan fokus kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. Sudah 67 tahun negara terbina dan ia harus dikekalkan dengan usaha meningkatkan lagi perpaduan agar kejayaan yang lebih baik dicapai," katanya.
Majlis anjuran Kementerian Perpaduan Negara selaku kementerian peneraju itu dihadiri 7,000 orang termasuk Menteri Kabinet, penjawat awam, jentera perpaduan seperti Kawasan Rukun Tetangga, ahli Sekretariat Rukun Negara, ahli Kelab Rukun Negara, pertubuhan bukan kerajaan, agensi swasta dan orang awam.