Pemimpin PN menyoal montaj video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 yang tidak menonjolkan imej masjid.
Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing menjawab kenapa imej Islam tiada dalam video berdurasi 41 saat itu.
Ini kerana rumah ibadat bukan Islam jelas tertera dalam montaj berkenaan, kata Radzi.
"Dah tengok montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026?
"Ada yang tanya saya, kenapa tak ada masjid dalam video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026? Tapi rumah ibadat yang lain ada.
"Emmm... menteri pelancongan kena jawab ni," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Radzi turut memuatnaik montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dikeluarkan Tourism Malaysia.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 di Sepang, kelmarin yang turut disertai dua Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadilah Yusoff.
Pelancaran Kempen Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia 2026 atau VM2026) dengan pengenalan logo, maskot, lagu tema dan reka bentuk pesawat khas.
Logo VM2026 melambangkan budaya Malaysia yang kaya, keindahan semula jadi dan daya tarikan global, menjadi simbol visual kesediaan negara untuk menyambut pelancong dari seluruh dunia.
Lagu tema bertajuk 'Surreal Experiences' turut dilancarkan untuk mempromosikan daya tarikan unik Malaysia kepada pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Pemuda PAS menyambut baik usaha kerjasama memperomosikan tahun melawat Malaysia selain memuji logo tema yang bertepatan dengan nilai budaya ketimuran serta mencerminkan seni warisan negara yang unggul.
"Walau bagaimanapun, Pemuda PAS melahirkan kebimbangan berkenaan montaj promosi yang bakal ditayangkan di peringkat antarabangsa.
"Ternyata, montaj tersebut langsung tidak menonjolkan keindahan dan keunikan masjid-masjid dalam negara yang mempunyai nilai yang signifikan kepada negara selain menjadi simbolik kepada agama persekutuan.
"Sebaliknya, montaj berkenaan memaparkan suasana tempat ibadat selain Islam dan bangunan peninggalan penjajah.
“Montaj yang langsung tidak mengetengahkan keindahan masjid membina persepsi negatif dalam kalangan rakyat," kata Ketua Penerangannya, Nadzir Helmi dalam satu kenyataan.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen menteri pelancong berhubung perkara ini.
Montaj video tersebut menampilkan beberapa destinasi pelancongan popular seperti Petaling Street dan Pasar Seni, Kuil Batu Caves, Gereja Christ di Melaka (yang dibina oleh Belanda), Gua Mulu di Sarawak, dan Skywalk Langkawi.
Sementara itu, Pemuda Bersatu (Armada) "mengecam sekeras-kerasnya" kegagalan menonjolkan elemen Islam dan keindahan warisan masjid dalam video "Visit Malaysia 2026".
“Video yang sepatutnya mempromosikan keunikan pelbagai budaya dan warisan Malaysia ini jelas meminggirkan majoriti penduduk negara, iaitu umat Islam, dengan hanya menonjolkan paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil.
Ini merupakan satu lagi contoh kecuaian dan kealpaan kementerian dalam menjaga sensitiviti umat Islam, yang sudah beberapa kali berlaku di bawah kepimpinan Menteri yang sama,” dakwa Exco Pemuda Bersatu, Ad Adib Shaharuddin.
Adib berkata masjid-masjid di Malaysia, seperti Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, dan Masjid Kristal di Terengganu, bukan sahaja melambangkan keindahan seni bina Islam tetapi juga mewakili perpaduan serta keagungan ajaran Islam di negara ini.
“Gagal mengetengahkan masjid sebagai sebahagian daripada khazanah pelancongan bukan sahaja satu penghinaan terhadap warisan Islam, tetapi juga mencerminkan dasar promosi pelancongan yang tidak inklusif dan tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia.,” tambahnya.
Pemuda Bersatu menuntut video promosi itu digantikan dengan video baru yang lebih seimbang, yang menyertakan elemen masjid dan keindahan seni bina Islam.
Sayap itu juga menggesa Kementerian Pelancongan memohon maaf kepada umat Islam atas dakwaan gagal hormat sensitiviti agama terbesar di Malaysia.