Presiden PAS, Abdul Hadi Awang baru pulang dari lawatan ke Tehran, Iran dan Istanbul, Turkiye, dengan perbincangan diadakan mengenai politik Malaysia dan situasi di Palestin.
"Alhamdulillah selamat pulang ke tanah air setelah bermusafir ke Tehran dan Istanbul," katanya pada hantaran di media sosial.
Hadi turut bertemu Presiden Parti Saadet, Turkiye, Temel Karamollaoğlu dan pemimpin gerakan Islam dari Sudan, Lebanon, Iraq, dan lain-lain.
"Perbincangan tentang pengalaman politik PAS di Malaysia dan situasi terkini taufan al-Aqsa Palestin.
"Selain itu, saya juga memenuhi undangan Syarahan Istanbul: ‘Taufan al-Aqsa dan Masa Depan Ummah’ yang dianjurkan oleh NGO International Youth Forum (IYF),” katanya di Facebook hari ini.
Presiden PAS juga menghadiri beberapa sesi temu bual bersama organisasi media antarabangsa, termasuk TRT dan Anadolu Agency Media.
Hadi turut menyatakan harapannya agar lawatan ini memberi makna dalam usaha menyatukan umat Islam “agar cahaya Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.”
Sebelum ini, dilaporkan presiden PAS pergi ke Iran untuk menghadiri pertemuan tahunan bagi penyatuan umat Islam di seluruh dunia.
Menurut Utusan Malaysia, ahli parlimen Marang itu juga bertemu dengan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Hadi berangkat dalam lawatannya itu selepas muktamar PAS di Pahang, yang berakhir pada 15 September.