Kerajaan Terengganu tetap menjaga hak orang bukan Islam walaupun ia cuba dibuktikan sebaliknya oleh DAP, kata salah seorang exco negeri terbabit hari ini.
Menurut Muhammad Khalil Abdul Hadi rakyat Terengganu - termasuk bukan Islam - hidup dengan aman selama ini ketika 96 peratus penduduknya beragama Islam.
Bagaimanapun, katanya, ada garis panduan yang sentiasa perlu dipatuhi oleh semua di Terengganu untuk mengekalkan keharmonian tersebut.
Menurut Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu itu lagi jika orang bukan Islam mahu mengadakan sesuatu majlis, ia bebas dijalankan selagi dibuat secara tertutup dan tidak menganggu orang lain.
“Sekiranya mengganggu masyarakat umum - contohnya diadakan di tempat yang umum - walaupun majlis itu majlis mereka, jadi ia tetap mengganggu masyarakat umum.
"Itu kita tidak boleh kompromi kerana itu garis panduan yang telah diletakkan (ditetapkan).
“Kalau mereka nak buat, buat sesama mereka dalam majlis tertutup, dewan tertutup... tidak ada masalah itu hak mereka,” katanya yang dipetik harakahdaily hari ini.
Selalu buat dakwaan
Beberapa hari lalu DAP membangkitkan isu kerajaan negeri mengarahkan sebuah tokong menghentikan persembahan penyanyi wanita semasa suatu majlis keraikan di Kuala Terengganu.
Insiden itu dikatakan berlaku pada 29 Julai dan 2 Ogos, manakala larangan pula dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
Naib Pengerusi DAP Teresa Kok mendakwa kerajaan Terengganu memperkenalkan beberapa dasar dan undang-undang berunsur agama sejak kebelakangan ini.
Menjawab kritikan itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata persembahan hiburan oleh artis bukan Islam di hadapan penonton bukan Muslim hanya dibenarkan berlangsung secara tertutup.
"Berdasarkan garis panduan hiburan negeri Terengganu, persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang melibatkan artis wanita hanya dibenarkan kepada penonton wanita sahaja.
"Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada persembahan artis lelaki dan artis wanita untuk penonton bukan Muslim.
"Memandangkan persembahan nyanyian, tarian kebudayaan dan seni yang dimohon oleh Persatuan Penyokong Kuil Kwan Tee Than membabitkan penonton lelaki dan wanita di khemah terbuka dalam kawasan yang terbuka di kawasan kuil tersebut, orang yang lalu lalang dapat melihat persembahan tersebut," katanya.
Mengulas lanjut isu itu, Khalil berkata, selama ini masyarakat Islam dan bukan Islam di Terengganu hidup dengan saling menghormati antara satu sama lain.
Dia juga menasihatkan DAP agar turut memberi perhatian kepada hak masyarakat majoriti berbanding hanya memberi tumpuan menjaga hak minoriti
“DAP ini, mereka selalu menimbulkan (dakwaan) bahawa kita (kerajaan negeri) tidak menjaga hak-hak orang bukan Islam.
“Mereka juga perlu menjaga hak-hak orang Islam, kerana Islam adalah agama rasmi dan umat Islam adalah majoriti dalam negara kita.
“Jadi apabila bercakap tentang hak-hak ini, bukan sahaja hak minoriti (perlu dijaga) tetapi hak majoriti (dilupakan).
"Jangan pula apabila kita bercakap tentang hak minoriti kita terlupa tentang hak majoriti,” katanya.