Hamas sambut baik resolusi PBB untuk gencatan senjata segera di Gaza

Shopee Sale

Hamas pada Isnin mengalu-alukan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.

"Kami menggariskan keperluan untuk mencapai gencatan senjata kekal yang membawa kepada pengunduran semua tentera Israel dari Gaza dan kepulangan pelarian ke rumah mereka," kata kumpulan itu dalam kenyataan.

Ia menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi gencatan senjata dan menghentikan peranang genosid dan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin.

Hamas berkata ia bersedia untuk terlibat dalam operasi pertukaran segera yang akan membawa kepada pembebasan semua tahanan di kedua-dua belah pihak.

"Sebarang perjanjian mesti menjamin kebebasan pergerakan rakyat Palestin dan kemasukan semua keperluan kemanusiaan untuk semua penduduk di Gaza," katanya.

Majlis Keselamatan PBB pada Isnin meluluskan resolusi menuntut gencatan senjata di Gaza sempena bulan suci Ramadan yang bermula pada 11 Mac dan dijangka berakhir 9 April.

Sebanyak 14 negara mengundi menyokong resolusi yang dibentangkan oleh 10 ahli Majlis yang dipilih, manakala Amerika Syarikat berkecuali daripada mengundi.

Resolusi itu menuntut "gencatan senjata segera dilaksanakan sepanjang bulan Ramadan, dihormati oleh semua pihak sambil menyasarkan satu gencatan senjata yang berkekalan."

Ia juga menggesa "pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan dan memastikan akses kemanusiaan untuk menangani keperluan perubatan dan kemanusiaan mereka yang lain."

Israel melancarkan serangan ketenteraan maut di wilayah Palestin hampir enam bulan dengan lebih 32,333 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 74,694 cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

MENARIK:  Adun DAP tangguh program kewarganegaraan lepas terima kecaman

Perang Israel, yang kini memasuki hari ke-171, memaksa 85 peratus penduduk Gaza berpindah di tengah-tengah sekatan yang melumpuhkan bekalan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.

Sebagai perbandingan, 60 peratus daripada infrastruktur enklaf itu telah rosak atau musnah, menurut PBB.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

ICJ dalam keputusannya pada Januari mengarahkan langkah sementara iaitu memerintahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

-Bernama

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular