Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mendakwa himpunan yang dirancang diadakan di Istana Keadilan pada Isnin ini tetap akan dihadiri oleh ahli 'Umno sejati' sebagai menunjukkan kebersamaan mereka dengan Najib Razak.
Naib Pengerusi Ummah Hishammudin Abu Bakar (gambar atas) berkata sebaliknya sesetengah ahli Umno yang terpengaruh dengan DAP akan menjauhi himpunan tersebut.
Dia juga mengingatkan bahawa jika tiada wakil Umno menunjukkan muka apabila mahkamah mendengar rayuan Najib berhubung keberadaan titah tambahan (adendum) mengenai penahanan rumahnya, ia akan menghantar isyarat yang buruk buat parti berkenaan.
"Difahamkan yang tarik diri tu 'UmDAP' (manakala) Umno (sebenar) akan turun.
"Sekiranya Umno tak turun esok (Isnin), rakyat akan lihat satu lagi episod malang pejuang Melayu tunduk pada desakan DAP," dakwanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.
Istilah UmDAP sering digunakan pihak pembangkang untuk menggambarkan bahawa Umno kini mengikut telunjuk DAP ekoran kerjasama yang dijalin kedua-dua parti dalam kerajaan perpaduan.
Pembangkang serta NGO yang cenderung kepada mereka bercadang meneruskan himpunan memberi sokongan kepada Najib yang cuba mendapatkan kebenaran menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.
Umno sebelum ini turut merancang mengadakan himpunan pada Isnin ini namun menukar fikiran selepas Istana Negara semalam mengeluarkan kenyataan berhubung isu pengurangan hukuman seseorang banduan.
PAS lebih awal menegaskan mereka tidak bercadang mengkaji semula rancangan berkenaan dengan menegaskan bahawa himpunan tersebut tidak bercanggah dengan pandangan Istana Negara.
[Laporan lanjut menyusul]