Perbezaan geografi antara dua pusat perananginan - Hat Yai di Songkhla dan Pulau Langkawi di Kedah - menjadi faktor betapa tidak adil untuk membandingkan kerancakan kehadiran pelancong Malaysia.
Presiden Persatuan Perdagangan dan Pelancongan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh, berpendapat terdapat juga beberapa faktor utama lain yang menyumbang kepada kerancakan masuk pelancong Malaysia ke Hat Yai.
Antaranya, kata Aida, kemudahan akses melalui jalan darat, produk-produk tarikan dan kos.
“Pelancong Malaysia lebih memilih datang ke Hat Yai kerana kos perbelanjaan untuk makan minum, penginapan dan membeli-belah lebih murah walaupun nilai wang Thailand (baht) lebih tinggi berbanding ringgit Malaysia.
“Selain itu Hat Yai adalah tanah besar, sebaliknya Pulau Langkawi sebuah pulau yang hanya boleh diakses melalui jalan laut atau udara," katanya.
Tambah Aida, dia berpendapat pelancong Malaysia juga lebih memilih Hat Yai kerana bandar tersebut menyediakan pelbagai produk pelancongan yang berbeza daripada apa yang ada di Pulau Langkawi.
Misalnya, kata Aida, produk makanan, pakaian, kraf tangan, dan tempat-tempat menarik tumpuan pelandong.
Dia ditemui Malaysiakini sempena program hari Media dan Pelancongan Malaysia - Selatan Thailand di Hat Yai, Songkhla, minggu lalu.
Sebelum ini media tempatan melaporkan bagaimana Hat Yai kian menjadi tumpuan pelancong Malaysia dan dikaitkan dengan kemerosotan aktiviti pelancongan domestik khususnya Pulau Langkawi.
Kemerosotan itu dilihat ketika musim perayaan Deepavali pada Nov tahun lalu.
Kira-kira sebulan selepas itu, pelancong Malaysia dilaporkan menyumbang kira-kira dua billion baht (RM267 juta) kepada ekonomi Thailand.
Tak bergantung kepada kerajaan
Orang ramai menyerbu Hat Yai – yang hanya sejam perjalanan dari sempadan Kedah dan Perlis – khususnya ketika cuti sekolah atau cuti umum.
Aida menegaskan adalah tidak sesuai dan tidak adil jika perbandingan dibuat di antara kedatangan pelancong Malaysia ke Hat Yai dan Pulau Langkawi.
“Tapi ada hikmahnya - kerana kami di sini juga mahu mempromosikan Langkawi agar orang Thailand juga berminat untuk ke sana," katanya.
Tambah Aida, tidak seperti Langkawi, pengunjung Hat Yai boleh meluaskan perjalanan mereka ke tempat lain seperti wilayah Yala, Patani dan Narathiwat.
Tambahnya lagi, faktor perkhidmatan dan hospitaliti menjadi perananan penting yang perlu dititikberatkan oleh pemain industri.
“Di sini (Thailand) pemain industri tidak dimanjakan pihak pemerintah, mereka perlu berusaha keras sendiri dengan inisiatif masing-masing sebelum sedikit sebanyak dibantu agensi kerajaan.
“Ini termasuk dalam aspek penyediaan produk sehingga ke peringkat pemasaran dan promosi.
"Tanpa kebergantungan kepada pihak kerajaan menyedarkan mereka untuk menyediakan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan,” kata Aida.
Sementara itu seorang pengurus agensi pelancongan Thailand Abdullah Yeepanoh berkata tawaran harga pakej pelancongan di sekitar Selatan Thailand yang rendah menjadi tarikan utama kedatang pelancong Malaysia.
Katanya, pada harga sekitar RM60 seorang, pelancong dari Malaysia boleh menerokai tempat-tempat menarik di Narathiwat.
“Bagi pakej Hat Yai, kami menyediakan tawaran serendah RM299 setiap seorang meliputi kenderaan (dari sempadan), penginapan, sarapan, insuran dan pengangkutan ke lokasi-lokasi tumpuan serta pemandu pelancong.
“Rasa rasa tawaran harga pakej pelancongan ini menjadi tarikan utama yang memikat pelancong Malaysia datang ke Hat Yai,” katanya.
Sempena cuti sekolah
Ditanya sejauh mana sambutan pelancong Thailand ke Langkawi, Abdullah berkata destinasi itu kurang mendapat sambutan memandangkan di Thailand sudah terdapat banyak pulau perananginan yang indah.
“Berdasarkan pengalaman agensi kami, orang Thailand lebih suka ke Cameron Highland, Genting Highland, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Kalau ke Langkawi tak berapa ada sambutan sangat,” katanya yang juga pengurus YPN Grup & Exclusive Van Club yang berpangkalan di Narathiwat.
Dalam pada itu seorang pelancong dari Johor yang mahu dikenali sebagai Bala, 37, berkata dia mengambil peluang membawa keluarga ke Hat Yai sempena musim cuti sekolah kali ini.
“Saya dari Johor ke Pulau Pinang sebelum datang ke Hat Yai. Kami datang ke Hat Yai dengan memandu kereta.
“Saya ambil kesempatan ini untuk bawa anak-anak mengenai pesekitaran berbeza berbanding tempat pelancongan di Malaysia.
“Sebab ini kali pertama datang, kami boleh rasa makanan, tengok tempat menarik dan membeli-belah produk tempatan,” katanya.