Henti hina agama di platform media sosial – Mohd Na’im

Shopee Sale

Orang ramai diminta menghentikan perbuatan menghina agama di platform media sosial bagi mengelak suasana yang tidak baik dalam masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Beliau berkata sebaiknya seluruh masyarakat yang berbilang bangsa dan agama menggunakan platform media sosial tersebut untuk tujuan merapatkan hubungan serta mengeratkan perpaduan.

“Ia jelas dalam al-Quran dan Islam merupakan satu agama yang melarang umatnya menghina orang lain, hatta menghina individu pun tidak boleh apatah lagi dalam konteks menghina agama lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Rahmah Ramadan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP): Ziarah Pusat Kebajikan dan Rumah Asnaf di Asrama Darul Falah (ASDAF) Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Mohd Na’im turut menyeru orang ramai supaya menghargai keamanan dan tidak mewujudkan suasana yang boleh merenggangkan hubungan serta menimbulkan kemarahan agama lain dengan menggunakan platform media sosial.

Terdahulu MAIWP menyampaikan sumbangan berjumlah RM14,500 kepada Pusat Kebajikan Asrama Darul Falah (ASDAF) untuk diagihkan kepada 58 penghuni pusat kebajikan itu sebanyak RM250 seorang.

“Untuk rekod, MAIWP telah menyalurkan bantuan kepada ASDAF dari 2019 hingga 2023 berjumlah RM610,000.

“Ini adalah amanah yang mesti ditunaikan sebaik-baiknya oleh MAIWP untuk mengagihkan dana zakat yang disumbangkan oleh umat Islam. Inisiatif hari ini hasil daripada dana zakat yang diterima daripada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan, dengan kutipan terus meningkat setiap tahun walau berhadapan pelbagai cabaran,” katanya.

MENARIK:  Datuk Bandar PJ nafi kurang ajar pada kumpulan penduduk

Turut hadir Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya.

Sementara itu, Mohd Na'im turut menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada tiga keluarga penerima zakat MAIWP yang setiap satu menerima RM500 berserta bakul rezeki disumbangkan oleh pembayar zakat wakalah MAIWP di Flat Sentul Utama.

“Antara rumah yang dilawati sebentar tadi penerimanya ditimpa musibah hingga menyebabkan dia kehilangan pekerjaan, manakala isterinya pula tidak bekerja. MAIWP telah beri bantuan bulanan kepada keluarga ini untuk meringankan beban mereka,” katanya.

Sehubungan itu beliau merayu agar syarikat, korporat dan individu yang belum membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) untuk berbuat demikian.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular