GLOBAL | Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, hari ini berkata Semenanjung Gaza menjadi "kem penghapusan terbesar dunia" dan Israel telah melakukan kekejaman yang akan "mengatasi Hitler."
“Pemimpin dan organisasi Barat yang tugasnya memastikan keselamatan antarabangsa hanya menyaksikan kekejaman ini dari jauh selama hampir 300 hari," kata Erdogan dalam satu ucapan di ibu negara Ankara.
Katanya entah berapa ramai lagi kanak-kanak perlu mati untuk melihat bahawa dasar pencerobohan Israel membahayakan seluruh rantau tersebut.
"Ini bukan sesuatu yang boleh diteruskan,” katanya lagi.
Presiden Turkiye itu juga menyeru supaya “kekejaman dan barbarisme Israel dihentikan dengan segera sebelum ia terlambat.”
Dia berkata Israel adalah satu-satunya negara di rantau tersebut yang mendapat keselamatannya melalui “pencerobohan, pembunuhan beramai-ramai dan perampasan tanah,” bertindak seperti “organisasi pengganas.”
“Israel yang tidak mematuhi undang-undang. Ini adalah ancaman bukan saja kepada Palestin dan Lubnan tetapi kepada seluruh umat manusia, bahkan seluruh dunia pada ketika ini,” kata Erdogan.