Seorang bekas hakim berkongsi pandangan kes pukul pemandu e-hailing pekak Ong Ing Keong dengan berkata bahawa pelakunya harus diheret ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan jenayah.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain sebelum ini berkata bahawa penyerang - seorang anggota polis pengiring - telah menghadapi tindakan tatatertib dalam pasukan itu.
Bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer dilaporkan berkata bahawa pertuduhan terhadap pelaku kes itu merupakan "langkah cermat".
Walaupun mangsa tidak mempunyai hak perlembagaan untuk menuntut penyerangnya didakwa, Hamid berkata: "bagaimanapun, orang awam dan badan berkaitan yang bertanggungjawab untuk menegakkan kedaulatan undang-undang secara adil dan saksama berhak membangkitkan isu itu berulang kali sehingga seseorang yang dikatakan telah melakukan jenayah akhirnya didakwa - walaupun ia mengambil masa beberapa dekad.
"Tiada tempoh had untuk jenayah, walaupun sesetengah negara mempunyai had itu. Hak untuk mendakwa terletak pada AGC (Jabatan Peguam Negara)," kata Hamid, seperti dipetik oleh Scoop.
Dua hari lalu, Ong mengadakan sidang media mendedahkan klip kamera pemuka dalam kereta yang memaparkan kejadian pada Mei, yang menunjukkan mukanya ditumbuk sebaik penumpangnya memasuki keretanya.
Peguamnya N Surendran turut melahirkan kekecewaan terhadap pihak berkuasa yang tidak bertindak, dengan mengatakan sudah hampir dua setengah bulan sejak kejadian itu.
Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata bahawa polis pengiring Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu telah berdepan tindakan tatatertib.
Selain itu, dia berkata pegawai itu turut disiasat mengikut Kanun Keseksaan.
Surendran kemudian menjawab dengan mengatakan tindakan yang seharusnya diambil adalah pertuduhan jenayah dan bukannya tindakan tatatertib semata-mata.
Dalam kejadian 28 Mei, Ong membuat laporan polis, mendakwa dia diserang oleh salah seorang pengiring Tunku Ismail ketika menunggu pelanggan di lobi Hotel St Regis di KL Sentral.
Selain daripada serangan itu, terdapat beberapa dakwaan penyelewengan dalam cara polis mengendalikan laporan Ong. Dia didakwa dipaksa untuk menyelesaikan perkara itu dan ditawarkan RM800 untuk menarik balik laporan itu.
Kertas siasatan yang dikeluarkan oleh polis, yang melibatkan serangan dan penyelewengan, telah dihantar ke AGC pada 4 Jun.