Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan tempoh reman dua individu termasuk seorang dipercayai berperananan sebagai pengendali aliran tunai untuk GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang tamat hari ini, dilanjutkan.
Perintah lanjutan reman selama lima hari bermula hari ini ke atas kedua-dua mereka yang berumur dalam lingkungan 50an itu dikeluarkan timbalan pendaftar Nurshahira Abdul Salim.
Peguam Rosli Kamaruddin yang mewakili kedua-dua individu berkenaan berkata siasatan terhadap anak guamnya dijalankan mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Sebelum ini kedua-dua mereka yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd itu direman selama tujuh hari pada 23 Sept lepas.
Jumaat lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan pihaknya memberkas seorang individu dipercayai pengendali aliran tunai GISBH menerusi Op Global Fasa 4, di Butterworth, Pulau Pinang pada 23 Sept.
Sementara itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkan 15 kanak-kanak yang merupakan anak kepada seorang pemimpin kanan GISBH di rumah perlindungan.
Sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan berusia tiga hingga 16 tahun itu akan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Johor dan Kuala Lumpur.
-Bernama