Iran telah menyambung semula penerbangan ke dan dari negara ini pada pagi semalam, selepas digantung susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada Selasa malam, menurut jurucakap Organisasi Penerbangan Awam (CAO) Iran, lapor Xinhua.
Jurucakap CAO, Jafar Yazarlou mengumumkan sekatan penerbangan itu ditarik balik selepas memastikan keadaan adalah sesuai dan selamat untuk penerbangan.
Dia berkata syarikat penerbangan dibenarkan menyambung semula penerbangan bermula pukul 5.00 pagi waktu tempatan (0130 GMT) semalam.
Iran melancarkan kira-kira 180 peluru berpandu ke arah Israel pada Selasa.
Tehran berkata serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh, Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah, dan komander kanan Iran Abbas Nilforoushan, serta peningkatan "tindakan jahat" dengan sokongan Amerika Syarikat dalam serangan Israel ke atas Lubnan dan Palestin.
-Bernama