Pakistan menuduh Israel membunuh rakyat Palestin secara sistematik dan memberi amaran bahawa konflik serantau akan membawa kepada akibat "di luar imaginasi."
Perdana Menteri Shehbaz Sharif berkata bahawa orde dunia semasa sedang menghadapi cabaran paling getir akibat masalah seperti konflik genosid Israel, krisis Ukraine dan konflik di Asia dan Afrika.
Apa yang dilakukan Israel di Palestin "menggoncang hati nurani manusia," kata perdana menteri Pakistan itu dalam ucapannya semasa sesi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat.
"Bolehkah kita sebagai manusia berdiam diri ketika kanak-kanak tertimbus di bawah runtuhan rumah mereka yang musnah? Bolehkah kita menutup mata terhadap ibu-ibu yang mendakap jasad anak-anak mereka yang tidak bernyawa? Ini bukan sekadar konflik, ini adalah pembunuhan sistematik terhadap orang tidak bersalah, serangan terhadap inti pati kehidupan dan maruah manusia," kata Shehbaz.
Dengan Israel yang terus membunuh sebilangan besar orang melalui pengeboman harian ke atas Gaza dan memperluas serangan ke atas Lubnan, banyak negara bimbang kemungkinan konflik serantau akan tercetus sepenuhnya.
Perdana menteri Pakistan memberi amaran bahawa konflik seperti itu akan membawa malapetaka.
"Dalam beberapa hari sahaja, pengeboman berterusan Israel di Lubnan telah mengorbankan lebih 500 orang termasuk wanita dan kanak-kanak. Kegagalan untuk melaksanakan resolusi PBB telah memberanikan Israel. Ia mengancam untuk mengheret seluruh Timur Tengah ke dalam peranang yang akibatnya boleh menjadi sangat teruk dan di luar imaginasi," kata Shehbaz.
Sejak perdana menteri Pakistan menyampaikan kata-kata yang membimbangkan itu, ketegangan serantau meningkat beberapa tahap selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu kota Lubnan, Beirut, pada Jumaat.
Tentera Israel berkata ia menyasarkan ketua kumpulan Hizbullah, Hassan Nasrallah ketika ia memusnahkan beberapa blok kediaman.
Tindakan ketenteraan rejim Zionis yang semakin meluas itu mengancam untuk mencetuskan tindak balas ketenteraan lebih lanjut daripada kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman serta militia bersekutu di Syria dan Iraq terhadap sasaran Israel dan Amerika di Timur Tengah.
Majlis Keselamatan PBB pada Jumaat mengadakan debat mengenai situasi terkini di Gaza.
Kempen genosid Israel telah membunuh lebih 41,500 rakyat Palestin dan 80 peratus daripada 2.3 juta penduduk wilayah itu telah kehilangan tempat tinggal.
Israel juga telah menyasarkan agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA serta memusnahkan hospital dan kemudahan perubatan Palestin.