Isu kematian dalam tahanan: Badan Peguam gesa inkues bebas teliti dakwaan Saifuddin

Shopee Sale

Badan Peguam Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap dakwaan Saifuddin Nasution Ismail bahawa tiada kematian tahanan di depot imigresen dan lokap polis yang dikaitkan dengan pihak berkuasa sejak dia memegang jawatan menteri dalam negeri.

Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab menekankan dakwaan sedemikian memerlukan siasatan bebas dan menyeluruh oleh koroner.

Dia juga membangkitkan beberapa perkara kritikal yang memerlukan perhatian dan tindakan segera kerajaan.

"Adalah amat penting untuk menekankan bahawa penentuan punca kematian dalam tahanan terletak sepenuhnya pada Koroner, seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 334 Kanun Prosedur Jenayah.

"Ini mewajibkan siasatan ke atas kematian yang berlaku dalam tahanan polis. Sebarang pengesahan punca kematian ini mesti dilakukan setelah siasatan yang menyeluruh dan bebas dilakukan oleh Koroner untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawapan.

"Menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, kematian dalam tahanan baru-baru ini dikaitkan dengan sebab-sebab kesihatan, termasuk Covid-19, tuberkulosis (“TB”), dan masalah jantung.

"Ini menimbulkan beberapa kebimbangan kritikal yang perlu ditangani dengan segera," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Selanjutnya, Ezri berkata adalah penting untuk menentukan sama ada tahanan-tahanan ini meninggal dunia di dalam kemudahan tahanan atau pun di kawasan hospital.

"Lokasi kematian mereka adalah signifikan dalam memahami keadaan dan penjagaan yang diberikan di dalam persekitaran tahanan.

"Selain itu, kita juga harus meneliti kecukupan dan ketepatan masa rawatan perubatan yang diterima oleh individu-individu ini.

"Adakah mereka dirawat dengan segera oleh profesional perubatan yang berkelayakan, dan adakah rawatan yang mereka perlukan diberikan tanpa kelewatan?

"Kesihatan dan keselamatan tahanan haruslah menjadi keutamaan, dan sebarang kelemahan dalam penjagaan kesihatan mesti dikenal pasti dan diperbaiki," katanya lagi.

Daripada masalah sakit

Saifuddin pada 1 Julai lalu berkata tiada kematian dalam lokap dan penjara direkodkan akibat kecederaan yang disebabkan oleh pihak polis sepanjang dia menjadi menteri dalam negeri.

Sebaliknya kata Saifuddin, kematian yang dilaporkan dalam tempoh dua tahun ini melibat tahanan di penjara, lokap dan depoh imigresen adalah disebabkan masalah kesihatan.

"Kematian dalam lokap polis ini melibatkan masalah kesihatan seperti Covid-19, tuberkulosis (tibi), serangan jantung dan paru-paru berair.

MENARIK:  Polis mohon saksi kemalangan maut tampil bantu siasatan

"Tiada kematian dalam lokap membabitkan menggantung diri, bunuh diri dan dicederakan oleh pihak polis.

"Segala macam adalah daripada masalah sakit. Kebanyakan (kematian) ini adalah penagih dadah tegar yang dimasukkan ke dalam lokap," katanya ketika sesi penggulungan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) 2021 dan 2022 di Dewan Rakyat.

"Ada 20 insiden kematian terdiri daripada orang Bangladesh, India, Iraq, Myanmar, Filipina, Thailand dan Indonesia.

"Melalui laporan kesihatan pemeriksaan bezah siasat, semuanya adalah berkaitan dengan kes masalah kesihatan," kata menteri itu lagi.

Sementara itu Mohamad Ezri berkata kesihatan dan keselamatan tahanan harus diutamakan serta sebarang kesilapan dalam rawatan perubatan mesti dikenal pasti dan diperbetulkan.

"Seterusnya, adalah mustahak untuk menyiasat sama ada kematian-kematian ini boleh dielakkan. Adakah berlakunya kecuaian oleh pihak berkuasa dalam menyediakan rawatan perubatan yang diperlukan?

"Kegagalan dalam mengelakkan berlakunya kematian-kematian yang disebabkan oleh masalah kesihatan yang boleh dirawat menunjukkan adanya pelanggaran tugas yang serius dan ini menegaskan bahawa perlunya ada pembaharuan sistemik bagi memastikan kesejahteraan tahanan-tahanan," katanya.


BACA BERKAITAN:

Saifuddin: Tiada tahanan mati akibat kecederaan oleh polis sejak 2022

NGO bidas kenyataan Saifuddin mengenai kematian dalam tahanan

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular