Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini mengingatkan rakyat supaya tidak menggadaikan integriti dan membiarkan tanah di negeri itu ‘dijajah’ dan ‘diratah’ secara terang-terangan oleh pendatang asing.
Merujuk “penjajahan” tanah negeri, khususnya di Cameron Highlands, titah baginda, tanah-tanah yang dahulunya dipajak dan disewa kepada petani serta pengusaha tetapi kini disewakan kepada warga asing.
"Demi hanya mengikut nafsu dan mementingkan wang ringgit, kita sanggup menggadai integriti dan membiarkan tanah di negeri ini diratah oleh bukan pemiliknya.
"Lebih mendukacitakan lagi warga asing mengambil alih perananan sebagai `tauke' yang mengawal bekalan dan harga dalam industri pertanian, mengakibatkan wujudnya kartel yang merosakkan ekonomi negeri dan negara secara keseluruhan," titah baginda semasa Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-65 di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.
Baginda bertitah bahawa tanah di Cameron Highlands yang dahulunya disewakan kepada petani dan pengusaha tempatan, kini disewakan kepada warga asing.
Sambil menegaskan baginda tidak akan berkompromi dalam isu sebegini, Al-Sultan Abdullah menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan sewajarnya.
"Jangan sesekali gelap mata dengan wang ringgit dan kesenangan dunia yang sementara.
"Laksanakanlah amanah yang diberi ini dengan penuh integriti dan ingatlah setiap kerja buat dan tanggungjawab kita akan dipersoalkan kelak," titah baginda.
Baginda yang menggesa rakyat membantu pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat berhubung jenayah dan salah laku, turut menggesa kerajaan negeri mengkaji semula rancangan pembangunan Cameron Highlands terutama berkaitan pembangunan masa depan.
"Hanya dengan pendekatan yang holistik, tegas dan lestari akan dapat menyelamatkan tanah tinggi berkenaan daripada segala bentuk kerakusan dan tindakan yang tidak bertanggungjawab," titah baginda.
Menyentuh tentang pemuliharaan alam sekitar, Al-Sultan Abdullah bertitah sisa industri, sisa plastik, dan bahan kimia berbahaya sering mencemarkan sungai.
"Alam kita adalah lukisan tuhan yang paling indah, jadilah penjaga seni yang baik. Keindahan alam bukan hanya memberi kita kehidupan semata-mata, tetapi turut menyediakan sumber daya yang kita perlukan untuk hidup.
"Sungai-sungai di Pahang adalah urat nadi kehidupan, ia bukan sahaja menyediakan bekalan air untuk pertanian dan kegunaan domestik, tetapi juga merupakan habitat pelbagai jenis flora dan fauna," titah baginda
Baginda turut mengingatkan penerima anugerah dan pingat kebesaran negeri supaya sentiasa merendah diri dan mengelakkan salah laku yang boleh mencemarkan nama baik institusi diraja.