Juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan penuh bergaya menerusi kemenangan agregat 9-0 ke atas Kuala Lumpur (KL) Rovers, hari ini.
Skuad Harimau Selatan mencatatkan kemenangan besar itu selepas membenam pasukan Liga A1 Semi Pro tersebut, 6-0 pada aksi timbal balik pusingan 16 terakhir di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT yang menewaskan KL Rover 3-0 pada aksi pertama 20 Nov lepas, memulakan pesta gol seawal minit ke-13 menerusi jaringan sendiri pemain pertahanan KL Rovers, Mohammad Raffi Nagoorgani.
Tonggak pertahanan kiri, La'Vere Corbin-Ong kemudian memastikan JDT berada di kedudukan selesa, apabila meledak jaringan pada minit ke-33, sebelum bekas pemain Real Madarid, Jese Rodriguez melebarkan penguasaan menerusi jaringan masa kecederaan babak pertama.
Bersambung babak kedua, skuad bimbingan Wan Mustaffa Wan Ismail terus menderita apabila penyerang import dari Brazil, Bergson da Silva mencetak dua jaringan, masing-masing pada minit ke-74 dan minit ke-82.
JDT di bawah kendalian Hector Bidoglio, kemudian melengkapkan kemenangan bergaya itu menerusi jaringan Mohamadou Sumareh, yang mudah menyudahkan tolakan Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-88.
Pada suku akhir, skuad Harimau Selatan akan bertemu pemenang aksi di antara Kedah Darul Aman (KDA) atau KL City esok, dengan Kedah mendahului 3-2 pada aksi pertama.