Jenazah Hasnatul Adilah selamat dikebumikan

Shopee Sale

Seorang daripada mangsa yang terkorban dalam nahas di Jalan Kuantan – Segamat, Pahang awal pagi tadi, Hasnatul Adilah Hassan, 48, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tangki Air di Alor Gajah, Melaka pada 8.50 malam.

Terdahulu, jenazah Guru Penolong Kanan 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu disembahyangkan oleh kira-kira 300 jemaah dan diimamkan oleh anak keempat arwah, Muzaffar Shah Saifullizan, 19, pada 7.48 malam di Masjid Al-Muhtadi, Ramuan China Besar.

Anak kelima yang juga anak bongsu kepada arwah, Farouq, 12, yang terlibat dalam kemalangan terbabit, turut kelihatan dipapah oleh anggota keluarga untuk menghadiri majlis pengebumian ibunya.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Salhah Salleh.

Sementara itu, adik bongsu arwah, Mej Mohd Hafizuddin Hassan, 37, berkata dia tahu mengenai pemergian kakaknya itu pada 4.30 pagi tadi dan kali terakhir berjumpa dengan arwah ketika cuti Aidilfitri baru-baru ini.

Mohd Hafizuddin berkata dia terkilan kerana tidak sempat bertemu dengan arwah Hasnatul Adilah ketika pulang bercuti ke kampung dua minggu lepas memandangkan amat rapat dengan kakaknya itu.

"Saya menangis sepanjang perjalanan dari Kedah ke sini kerana teringatkan arwah yang merupakan anak sulung daripada enam beradik," katanya yang bertugas di sebuah kem tentera di Sungai Petani, Kedah.

MENARIK:  Pulau Pinang bincang teroka unsur nadir bumi bernilai RM100 bilion

Dalam kejadian awal pagi tadi, tiga individu membabitkan Hasnatul Adilah, Hadi Asyraf Mad Idris, 29, dan Hamzah Ahmad, 60, maut dalam kemalangan apabila bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan membawa guru dari SK Jeram, Masjid Tanah, bersama anak mereka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.

-Bernama

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular