Jika dilihat semula, terdapat beberapa perkara yang dikesalkan oleh bekas perdana menteri, Najib Razak berhubung operasi SRC International sehingga kerugian hampir RM4 bilion akibat penyelewengan.
Bagaimanapun, pada ketika itu, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia tidak mempunyai sebarang pengetahuan atau maklumat mengenai perkara yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu yang di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Najib yang juga bekas penasihat emeritus serta pemegang saham tunggal SRC ketika itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam SRC, Kwan Wil Sen pada sesi pemeriksaan balas, hari ini..
"Saya mempunyai penyesalan tertentu tetapi berdasarkan kepada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat (mengenai apa sebenarnya yang berlaku)," katanya.
Bekas ahli Parlimen Pekan itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Wil Sen bahawa dia yang menyebabkan SRC International gagal dan menanggung kerugian AS$1.18 bilion sebagaimana yang dinyatakan oleh pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse.
Wil Sen: Bagi seseorang yang mempunyai kuasa besar, anda akan bersetuju bahawa terdapat tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakannya atau memanfaatkan secara peribadi?
Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju sebagai menteri kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti.
Wil Sen: Berkenaan dengan semua perkara yang berlaku dalam SRC, adakah anda mengambil sebarang tanggungjawab atau sebahagian daripadanya?
Najib: Ia bergantung kepada sama ada saya bertanggungjawab. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai aliran dana dan saya tidak pernah membenarkan ia ke dalam akaun saya.
Wil Sen: Bolehkah saya menerima bahawa jawapan anda adalah tidak?
Najib: Tidak.
Najib sebelum ini menegaskan, wang AS$120 juta dalam akaun Ambank miliknya, bukan daripada sumber SRC atau dana daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Najib berkata, pasukan peguamnya yang menjalankan analisis terhadap dokumen transaksi kemasukan wang itu merumuskan ia bukan daripada syarikat itu dan KWAP.
Pada Mac lalu, Barkhouse memberitahu mahkamah, Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, iaitu dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC daripada KWAP.
Saksi itu berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana Najib menerima wang berkenaan melalui tiga transaksi.