Johor bukan negeri pengemis – TMJ

Shopee Sale

Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menegaskan Johor bukan negeri pengemis sehingga perlu meminta-minta bagi menampung keperluan dan pembangunan di negeri itu.

Baginda membangkitkan keperluan dan kepentingan negeri itu hanya dilayan khususnya ketika musim pilihan raya.

“Bukan kita nak buat rusuhan, nak melawan kerajaan atau nak menjatuhkan mana-mana parti politik...Cuma kita nak hak kita, keperluan kita. Itu yang saya cakap, sampai bila Johor nak jadi pengemis?

“Benda (peruntukan) diberikan bila nak pilihan raya, bila habis pilihan raya semua pekakkan telinga, sampai bila?" soalnya.

Baginda bertitah demikian ketika sesi podcast secara langsung di program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri, Johor semalam.

Hadir sama Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, Setiausaha Kerajaan Johor Dr Azmi Rohani dan barisan Exco negeri.

Onn Hafiz Ghazi

Tunku Mahkota Ismail bertitah Malaysia boleh mencontohi Amerika Syarikat dalam soal pemisahan kuasa antara negeri dan persekutuan.

Ditanya hos jika masyarakat kurang jelas berkenaan belanjawan negeri dan juga cukai yang dibayar negeri kepada persekutuan, baginda membalas: "Sudah tentu."

"Memang tak logik kerana kalau kita lihat Amerika Syarikat, mana ada Washington yang uruskan semua negeri. Cukai diurus oleh negeri dan kalau kita (lihat)California, New York, semua ada bidang kuasa sendiri.

“Tapi kita tak ada, kita semua benda bagi kepada kerajaan persekutuan, lepas itu dia bagi kita 'ciput' saja. Kemudian bila duit tak cukup kita kena buat permohonan yang memakan masa empat, lima tahun baru dapat kelulusan.

“Sampai bila kita nak minta sedekah? Kita bukan pengemis,” titahnya sambil menambah ia adalah pandangan peribadinya.

Gabungan Bangsa Johor

Tunku Mahkota Ismail turut membangkitkan cadangan mewujudkan Gabungan Bangsa Johor, iaitu gabungan yang menurutnya akan membolehkan kepentingan negeri diputuskan sendiri oleh penduduknya, sepertimana di Sarawak.

Titahnya, Gabungan Bangsa Johor itu nanti boleh memperbaiki sistem dalam negeri demi menjaga kepentingan generasi akan datang.

“Orang kata potensi Johor memang hebat. Tetapi bagi saya apa yang lebih hebat dan lebih baik adalah keputusan mesti dijaga dan dibuat oleh orang Johor, bukan Putrajaya yang tentukan nasib kita. Kita tentukan apa yang kita perlu.

“Kalau ada gabungan anak-anak Johor, katakanlah gabungan negeri Johor, yang menjaga kepentingan negeri macam mana Sarawak buat, insya-Allah kita tengok dari segi kemajuan dan pembangunan Johor boleh maju. Itu saya jamin.

MENARIK:  AIM menang anugerah kewangan Islam global

“Tapi, bagi saya sistem ini kena berubah. Tapi, ia hanya boleh berubah jikalau Johor ada parti politik sendiri,” titah baginda, sambil menambah ia hanya boleh direalisasikan jika rakyat Johor tanpa mengira kaum bersatu padu.

"Tidak ada orang boleh jaga kita, kita jaga diri kita, tumpukan pada negeri kita. Kita perlu laksanakan sekarang," titah baginda.

Mencontohi Sarawak

Menjadikan kepesatan Sarawak hari ini sebagai contoh, Tunku Mahkota Ismail bertitah pelbagai manfaat yang diperoleh negeri Bumi Kenyalang itu adalah disebabkan pemisahan kuasa antara negeri dan persekutuan.

“Tengok negeri Sarawak hari ini, macam-macam bargain (tawar-menawar) dia dapat daripada kerajaan persekutuan. Sebab apa?

“Pertama sekali saya kena minta maaf pada menteri besar, ahli politik daripada mana-mana parti politik, kerana di Sarawak yang berkuasa adalah parti Sarawak sendiri.

“Di Johor ada PKR, DAP, Umno, PAS, macam-macam. Kenapa tak buat gabungan bangsa Johor saja?

“Apabila kamu bergabung dan bersatu, kerajaan pusat tidak boleh lagi pekakkan telinga sebab kamu akan menjadi kingmaker,” titahnya disambut sorakan hadirin yang hadir.

Sarawak kini ditadbir oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang ditubuhkan oleh parti-parti negeri itu yang dahulunya menjadi sebahagian daripada BN.

Ia terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) yang bertindak keluar BN selepas gabungan itu tewas dalam PRU 2018.

GPS kini merupakan gabungan politik keempat terbesar di Malaysia dengan 23 kerusi Parlimen dan menguasai 79 daripada 82 kerusi DUN Sarawak.

News Portal
News Portalhttps://worldbulletins.com
Latest trending news and shopping promotions

Similar Articles

ADVERTISEMENTShopee Sale
Exclusive
Home Living Promotions

Most Popular