Seorang jurugambar sambilan maut ditikam teman wanita dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Bandar Rimbayu dekat Kota Kemuning, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata mangsa berusia 26 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Cyberjaya dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 9.41 pagi daripada doktor di hospital berkenaan yang memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Doktor itu percaya mangsa dibawa dari sebuah klinik swasta. Beliau kemudiannya bertindak memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) selama 30 minit tetapi tiada tindak balas dan denyutan nadi dari mangsa.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan di Shah Alam hari ini.
Ahmad Ridhwan berkata susulan itu, satu kertas siasatan dibuka dan teman wanita mangsa diberkas di sekitar kawasan hospital pada jam 12. 30 tengah hari, dipercayai selepas membawa kekasihnya mendapatkan rawatan.
"Hasil semakan, wanita tempatan berusia 26 tahun itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai rekod lampau.
"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya," katanya.
Menurutnya suspek direman enam hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaaan atas kesalahan membunuh.