Seorang juruwang wanita maut ditikam di restoran tempatnya bekerja di sebuah pusat beli-belah di Cheras, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata setakat ini, tujuh suspek terdiri daripada rakan sekerja mangsa sudah ditahan bagi membantu siasatan kejadian yang menimpa wanita warga China berusia 49 tahun itu, sekitar jam tiga hingga empat petang semalam.
“Mangsa dipercayai ditikam beberapa kali pada bahagian badan dengan pisau dan pemeriksaan awal menemukan antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuhnya.
“Dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan ambulans,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidil berkata pemeriksaan lanjut di tempat kejadian tidak menemukan senjata tajam yang digunakan untuk menikam mangsa.
“Buat masa ini kita menahan tujuh suspek yang terdiri daripada rakan sekerja mangsa untuk bantu siasatan. Kita juga masih menyiasat motif pembunuhan selain mengesan saksi-saksi yang dapat membantu siasatan polis,” katanya.
Dia berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk bezah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
-Bernama