Saya membaca tulisan ini yang disiarkan oleh Malaysiakini yang bertajuk “Pembodohan dan fitnah terbesar PAS”.
Penulisnya seorang yang kelihatan 'istiqamah' menulis pelbagai artikel cenderung kepada Pakatan Harapan.
Ia boleh diselidik lewat artikel-artikel yang sentiasa disiarkan oleh portal ini yang tidak perlu dicerakinkan di sini.
Cumanya saya tertarik apabila penulis berhujah bahawa PAS sentiasa menyebut bahawa
“Malaysia ialah sebuah negara sekular”.
Katanya, “Tidak ada alasan lain mengapa PAS meneruskan tuduhan bahawa Malaysia adalah negara sekular, kerana dengannya, PAS-lah yang paling beruntung. Semakin ramai Muslim yang sedar bahawa Malaysia ini negara beragama (theological state), maka PAS pasti akan rugi.”
Saya suka untuk memperbetulkan tanggapan penulis ini. Saya kurang pasti dokumen mana yang dirujuk oleh penulis bahawa “PAS meneruskan tuduhan bahawa Malaysia adalah negara sekular”.
Sepanjang penglibatan saya dalam PAS, apa yang sering diulang-ulang ialah penegasan PAS bahawa Malaysia bukan negara sekular.
Boleh jadi ia merupakan skrip 30-40 tahun lepas, maka ia sudah tidak lagi relevan kerana jika diungkit skrip lama, sudah tentu DAP masih parti chauvinist mengikut lisan perdana menteri sekarang sewaktu beliau sebagai timbalan presiden Umno.
Jika dilihat lima tahun kebelakangan ini, PAS seringkali menegaskan bahawa Malaysia bukan negara sekular. Antaranya:
(1) Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu sidang media Muktamar PAS ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam pada 21 Oktober 2023 menyatakan bahawa, "Malaysia bukan negara sekular, itu manifesto DAP"
(2) Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khiruddin pada 4 September 2023 dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Harakahdaily menyatakan: "PAS berpendirian mempertahankan Islam dan kedudukan Melayu yang nyata dalam Perlembagaan Persekutuan akan membawa keadilan kepada semua agama dan bangsa dalam pemerintahan negara Malaysia."
Apa yang diperjuangkan oleh PAS bukanlah merubah Perlembagaan Malaysia, tetapi menafsirkan Islam dalam perlembagaan sebagai satu agama yang syumul dan cara hidup. Inilah yang ditegaskan oleh presiden PAS dalam tulisannya pada 19 Jun 2023.
Antara lain beliau menulis: "Kita telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, maka makna Islam itu hendaklah ditafsirkan mengikut bahasa al-Quran dengan kesempurnaan maknanya. Maka, pentafsiran secara sekular adalah suatu perkara yang salah dan sesat yang dahulunya telah dibawa oleh penjajah dan kitab Injil yang telah diubah kandungannya."
Lebih terpesong lagi tulisan ini apabila langsung tidak mengaitkan dakwaan Malaysia negara sekular dengan kenyataan-kenyataan daripada pemimpin DAP.
Mari kita lihat apakah pandangan DAP dalam isu ini:
(1) Pada 21 Oktober 2023, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menyatakan PAS harus menerima bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular.
(2) Laman web rasmi DAP sendiri dalam satu artikel yang disiarkan pada tahun 2014 menyatakan bahawa “Malaysia is, and should be, a secular state”.
(3) Lim Kit Siang pada 22 September 2018 dalam satu kenyataan menyatakan bahawa, "Malaysia ia a secular, no doubt about it."
Banyak lagi kenyataan sebenarnya daripada pemimpin DAP yang menegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara sekular. Jadi sebenarnya, siapakah yang mendakwa bahawa negara ini sekular?
Oleh kerana penulis artikel ini menyebut bahawa PAS akan kerugian jika ramai yang percaya bahawa negara ini beragama, maka saya ingin tegaskan bahawa Malaysia ialah sebuah negara beragama sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
Tinggal lagi, kita wajib melaksanakan tuntutan agama itu secara sepenuhnya.
Nah, penulis yang sama cubalah pula mencabar pemimpin-pemimpin DAP untuk turut sama mengulangi bahawa, Malaysia bukan negara sekular, tetapi negara beragama. Silakan.
AHMAD FADHLI SHAARI berkhidmat sebagai anggota parlimen Pasir Mas dan ketua penerangan PAS.
Tulisan ini disiarkan kali pertama di Facebooknya hari ini. Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.