Pembukaan sidang ketiga (Bajet) penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang ke-15, hari ini tegang seketika apabila berlaku pertikaman lidah di antara Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau) dan Muhammad Jailani Khamis (PAS-Rembia), hari ini.
Ketegangan itu tercetus selepas Speaker Dewan Undangan Negeri Ibrahim Durum mengesahkan bahawa kedudukan Adun Rembia kini diubah kepada blok pembangkang berkuat kuasa serta-merta.
“YB (Yang Berhormat) Rembia mengambil masa setahun, sebulan dan enam hari untuk mengisytiharkan keluar parti dan dalam tempoh itu telah melibatkan empat kali DUN bersidang.
“Saya memandang berat perkara ini, tetapi apakan daya, saya juga manusia dan saya ada pertimbangan sendiri,” katanya yang dipetik portal Melaka Hari Ini.
Ibrahim menyifatkan keputusan itu sebagai sukar diterima kerana ia tidak pernah berlaku dalam mana-mana sesi DUN atau parlimen sebelum ini.
“Jadi dengan berat hati saya membuat keputusan interim untuk mengubah kedudukan YB Rembia ke blok pembangkang,” katannya.
Pengumuman itu kemudian mencetuskan sedikit kekecohan dengan laungan seperti “katak!”, “pengkhianat!”, dan “biadab!” dilemparkan.
Jailani sertai PAS
Pada 16 Julai lalu, PAS mengumumkan bahawa Jailani, yang ketika itu sedang menjalani penggantungan enam tahun daripada Umno, telah menyertai parti tersebut.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mendedahkan bahawa Jailani telah menjadi ahli PAS sejak Jun tahun lalu.
Dengan pengumuman Ibrahim, PAS kini secara rasmi mempunyai seorang wakil dalam DUN Melaka, menjadikan jumlah kerusi pembangkang bertambah kepada tiga, dengan dua lagi dipegang oleh Bersatu.
Undang-Undang anti-lompat parti
Ibrahim menjelaskan bahawa keputusan interim itu dibuat berdasarkan kuasanya sebagai speaker mengikut Peraturan Mesyuarat DUN 9(1), 36, dan 37.
Dia turut menegaskan bahawa sebagai speaker, dia tidak akan teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang anti-lompat parti, yang telah diluluskan pada Ogos tahun lalu, sekiranya insiden serupa berlaku pada masa akan datang.
Takiyuddin sebelum ini memaklumkan bahawa permohonan Jailani untuk menyertai PAS pada 10 Jun 2023 telah diterima pada hari yang sama, manakala undang-undang anti-lompat parti DUN Melaka hanya diluluskan pada 31 Julai tahun lalu.