Kerajaan Kelantan menyambut baik beberapa pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerjanya ke negeri itu, semalam.
Menteri besarnya Mohd Nassuruddin Daud berkata, pihaknya mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas pengumuman projek dan peruntukan disalurkan kepada Kelantan.
Justeru jelasnya kerajaan negeri juga komited mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri.
"Semangat federalisme hendaklah sentiasa dijunjung tinggi dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi keutamaan dan ia merupakan kunci kepada pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan Kelantan komited akan terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera serta sentiasa terbuka kepada kerjasama yang membawa manfaat kepada negeri ini tanpa mengira perbezaan politik, selagi ia selaras dengan prinsip 'membangun bersama Islam' yang menjadi dasar pentadbiran negeri," katanya dalam kenyataan media.
Semalam Anwar berkunjung ke negeri Kelantan bagi menghadiri istiadat pengurniaan darjah kebesaran daripada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-55.
Dia turut mengadakan lawatan kerja dan mengumumkan peruntukan membabitkan kos projek Pusat Dialisis Yayasan Sultan Kelantan Darul Naim sebanyak RM8 juta dan menambah baik Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu sebanyak RM5.5 juta.
Anwar turut menyatakan komitmen meneruskan pelaksanaan projek tebatan banjir, bekalan air bersih dan masalah bekalan air kepada pesawah.