Kematian pemimpin Hamas Ismail Haniyeh merupakan kehilangan besar buat dunia Islam, namun semangat perjuangan beliau tidak akan pudar, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi catatan di laman Facebook miliknya, Ahmad Zahid menzahirkan kesedihan apabila menerima perkhabaran perginya seorang sahabat, pemimpin dan pejuang serta pengawal peribadinya, yang gugur syahid dalam serangan di Teheran, Iran.
“Kehilangan (Ismail Haniyeh) ini pastinya membangkitkan gelora perjuangan generasi penerus, agar keadilan dan kebebasan dapat dicapai oleh rakyat Palestin,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata setiap kali Ismail hadir ke Malaysia, mereka pasti berjumpa dan berkongsi kisah suka duka perjuangan membebaskan Palestin.
Ahmad Zahid berkata pemimpin Hamas itu banyak memberikan nasihat dan semangat kepadanya, supaya terus membantu dan menyumbang di saat kalah ataupun menang.
“Berehatlah sahabat. Hilangkanlah lelah dan penat. Kehilanganmu pasti menjadi pembakar semangat. Gugurmu melahirkan jutaan mujahid umat. Sehingga tercapai matlamat. Palestin bebas, merdeka dan berdaulat,” tulis Ahmad Zahid.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi catatan di Facebooknya juga berkata semangat perjuangan pemimpin Hamas itu, akan terus membara dalam kalangan mereka yang mendambakan keadilan dan perdamaian.
Ismail menurut beliau, bukan hanya seorang sahabat yang dekat kepadanya, tetapi juga seorang pemimpin yang gigih berjuang untuk kesejahteraan dan kebebasan rakyat Palestin di bawah tekanan dan kezaliman berterusan oleh Israel.
Mohamad berkata Ismail mengabdikan seluruh hidupnya memperjuangkan hak asasi dan keadilan bagi rakyat Palestin, dan sering berhadapan cabaran yang luar biasa dengan keberanian dan keteguhan hati.
“Kami semua akan mengingati bakti beliau dengan semangat yang tak pernah luntur dan terus menerus mengecam tindakan tidak adil yang dilakukan Israel.
“Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan keluarga serta para pejuang Palestin terus diberi kekuatan untuk melalui masa duka ini,” kata Mohamad.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut menyampaikan salam takziah buat seluruh rakyat Palestin atas kehilangan besar itu dan berkata perjuangan Haniyeh dalam memerdekakan Palestin daripada sebarang bentuk penjajahan dan pencerobohan, pastinya akan dikenang.
Beliau juga menegaskan pendirian Malaysia untuk terus bersama menyokong perjuangan dan pembebasan Palestin serta seluruh warganya yang berhak menentukan nasib sendiri dan hidup aman di tanah air milik mereka.
“Saya percaya rakyat Malaysia dan semua mereka yang mengikuti perkembangan di Palestin turut berdukacita,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di Facebooknya berkata pembunuhan Haniyeh ialah tindakan pengecut yang tidak akan dibiarkan tanpa balasan.
“Tenanglah di sana wahai Al-Qaid. Kami akan terus memperjuangkan kebebasan bumi Palestin. Al-Fatihah,” katanya.
Turut berkongsi rasa hiba dan dukacita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, yang mendoakan Allahyarham agar dirahmati dan diampuni Allah serta ditempatkan di syurga bersama hambaNya yang soleh.
Agensi Anadolu hari ini melaporkan Haniyeh terbunuh dalam serangan udara Israel, yang menyasarkan kediamannya di ibu negara Iran, Tehran.
Televisyen kerajaan Iran juga melaporkan kematian Haniyeh, menyatakan siasatan ke atas pembunuhan itu sedang dijalankan dan hasilnya akan diumumkan tidak lama lagi. Tiada pengumuman segera dibuat oleh Israel mengenai insiden itu.
Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu Masoud Pezeshkian pada Selasa (30 Julai).